Kenyataan Media oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr. Steven Sim Chee Keong
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr. Steven Sim Chee Keong, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Wanita DAP Pulau Pinang atas kejayaan melaksanakan pemilihan kepimpinan baharu bagi penggal 2025 hingga 2028 serta melantik 15 orang ahli jawatankuasa. Beliau turut merakam penghargaan kepada semua wakil yang hadir dan mengundi.
Dalam kenyataannya, Steven Sim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada YB Heng Lee Lee atas pelantikan sebagai Ketua Wanita DAP Pulau Pinang. Beliau menyifatkan YB Heng, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Berapit dan bekas Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan komited terhadap perjuangan parti.
Steven Sim juga menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada mantan Ketua Wanita DAP Pulau Pinang, Sdri Lim Siew Khim, serta seluruh pasukan kepimpinannya atas lebih satu dekad khidmat dan sumbangan mereka yang menjadi asas kepada kekuatan Wanita DAP hari ini.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh organisasi dan memperluas khidmat masyarakat oleh sayap wanita parti, Steven Sim mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membantu pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif. Katanya, langkah ini seiring dengan prinsip DAP Pulau Pinang yang sentiasa menekankan strategi ‘dalam kukuh, luar kuat’.
Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa DAP Pulau Pinang akan menaja caruman setahun di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk semua wakil Wanita DAP negeri. Program ini, jelas beliau, merupakan antara agenda penting yang telah lama diperjuangkan di Parlimen oleh YB Dato’ Seri Chong Eng sejak 12 tahun yang lalu.
Ini bertujuan untuk membolehkan rakan-rakan dalam sayap wanita merasai hasil perjuangan para pendahulu mereka. Saya juga berharap agar rakan-rakan Wanita DAP Pulau Pinang dapat membantu PERKESO, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, untuk terus memperluas promosi inisiatif kebajikan untuk suri rumah ini.
Steven Sim menegaskan bahawa pemilihan parti seharusnya dilihat sebagai satu “perlawanan persahabatan”, bukan medan pertentangan. “Musuh sebenar kita bukan di dalam parti, tetapi di luar,” katanya. Justeru, selepas pemilihan selesai, semua ahli Wanita DAP diseru untuk kembali bersatu dan bekerja bersama demi parti dan rakyat.
Beliau turut berkata bahawa persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum perlu bermula sebaik sahaja pilihan raya sebelumnya berakhir, kerana khidmat kepada rakyat tidak seharusnya bergantung kepada musim pilihan raya.
Dalam konteks itu, Steven Sim menyeru barisan kepimpinan baharu Wanita DAP Pulau Pinang agar segera bekerja keras untuk memupuk lebih ramai pemimpin wanita berkaliber, dan memperjuangkan agenda kesamarataan gender dalam parti serta masyarakat.
Steven Sim Chee Keong
Pengerusi DAP Pulau Pinang