Ucapan Perbahasan
Usul Menjunjung Kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong
Semasa pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Yang Keempat Belas pada 6 Oktober 2021
YB Tan Sri Dato’ Seri Utama Yang Di Pertua,
Izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas peluang untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong semasa pembukaan Penggal Keempat, Majlis Parlimen Yang Keempat Belas pada 13 September 2021.
Di kesempatan ini juga, ingin saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang atas amanah pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Negeri Pulau Pinang buat penggal yang kedua. Susulan daripada itu, sekali lagi ingin saya melafazkan komitmen saya untuk terus memperjuangkan hak warga Pulau Pinang secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya dalam Dewan Yang Mulia ini.
KERJASAMA DWIPARTISAN DAN PERJANJIAN PERSEFAHAMAN DI ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN DENGAN PAKATAN HARAPAN
Tan Sri Yang Di Pertua,
Mengimbas kembali Titah Diraja pada 13 September 2021, Tuanku telah berpesan untuk mewujudkan kestabilan politik negara, dengan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan sebagai asas yang penting untuk memajukan semula negara Malaysia yang tercinta, di saat negara kita dilanda dengan musibah COVID-19.
Justeru, Perjanjian Persefahaman ataupun MOU yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan pada 13 September 2021 boleh dikatakan sebagai menjunjung titah Duli Yang DiPertuan tersebut.
Pakatan Harapan melihat MOU tersebut sebagai langkah bagi melaksanakan reformasi yang belum selesai semasa pentadbiran 22 bulan yang dipintas oleh pengkhianatan politik Langkah Sheraton.
MOU ini bukan “blank check” kepada kerajaan hari ini untuk buat sesuka hati, tetapi saya ingin mengingatkan kerajaan untuk segera melaksanakan agenda reformasi yang termaktub dalam MOU tersebut. Kami di pihak pembangkang tetap akan memantau, mengkritik, dan menyemak imbang setiap tingkah laku kerajaan.
Hasil daripada MOU, Menteri Kewangan telah bersetuju menyuntik tambahan RM45 bilion sebagai Dana Covid-19 seperti yang disaran sekian lama oleh PH terutamanya DAP. Kementerian Kewangan juga akan menaikkan had perundangan hutang kerajaan persekutuan daripada 60% ke 65% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menteri Kewangan turut menggesa sektor perbankan untuk mengecualikan pembayaran faedah kepada penerima moratorium pinjaman bank.
Semua langkah ini sebenarnya sudah lama disaran oleh PH dan DAP. Kami yakin, strategi ini mampu memberikan talian hayat kepada rakyat terbanyak dan perusahaan Malaysia yang sudah tenat disebabkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini dalam pengurusan Covid-19 dan pentadbiran ekonomi.
Dengan termeterainya MOU tersebut, kerajaan persekutuan kini bersetuju melaksanakan reformasi yang dibawa oleh PH demi menyelamatkan nyawa, dan mata pencarian rakyat Malaysia.
KESAN DAN IMPAK PANDEMIK COVID-19
Tan Sri Yang Di Pertua,
Pandemik COVID-19 yang melanda negara kita semenjak tahun lepas telah mendatangkan impak yang negatif kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, dan agama.
Angka kes positif dan kes kematian, termasuk kes kematian di luar hospital, atau Brought-In-Death (BID) (dengan izin) adalah gambaran yang paling jelas bagi menilai usaha dan pelaksanaan dasar kerajaan untuk melawan COVID-19.
Kes positif dan kes kematian Covid-19 di Pulau Pinang telah mengalami lonjakan sekitar bulan Julai sehingga pertengahan bulan September 2021.
Pada 11 September, kes positif harian Pulau Pinang adalah 1,865 kes. Kini kes harian kita sudah menurun untuk 3 minggu berturut-turut, menjadi 623 kes pada 6 Oktober 2021.
Walaupun bagi saya kes masih tinggi, tapi syukur, 98% kes harian merupakan kes Kategori 1 atau 2.
Justeru, yang lebih membimbangkan ialah angka kematian di Pulau Pinang. Walaupun dari segi jumlah, angka kematian Pulau Pinang berada di kedudukan ke-7, namun dari segi kematian per kapita, Pulau Pinang merupakan negeri yang paling atas.
Antara faktor utama jumlah kematian yang tinggi ialah kekurangan kemudahan penjagaan kesihatan seperti katil ICU sebelum ini.
Saya ingin ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri Saudara YAB Chow Kon Yeow dan Kementerian Kesihatan di bawah pimpinan YB Khairy Jamaluddin yang telah membuat keputusan melantik Ahli Parlimen Bukit Mertajam Saudara YB Steven Sim sebagai koordinator Kerajaan Negeri-Persekutuan dalam isu Covid-19 di Pulau Pinang.
Tindakan dwi-partisan ini merupakan satu langkah tepat untuk mengenepikan perbezaan politik untuk menggembleng usaha demi melawan Covid-19. Inilah yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan sejak awal lagi, tetapi malangnya PN gagal melaksanakannya menyebabkan kegagalan teruk dalam pengurusan pandemik.
Susulan lantikan tersebut, usaha kedua-dua pihak dirancakkan terutamanya dalam meningkatkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan di Pulau Pinang.
Saya telah dimaklumkan bahawa sejak 11 September sehingga kini, sebuah hospital medan 100 katil siap dibina dalam 10 hari dan kini sudah beroperasi, lebih 130 katil Covid-19 tambahan juga diwujudkan di institusi-institusi kesihatan awam, jaringan hospital swasta juga telah memberi kerjasama dengan mengambil alih 436 pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan bagi memberikan ruang yang lebih banyak untuk merawat pesakit Covid-19.
Kita juga memperkasakan kemudahan kuarantin, menambah tenaga kerja perubatan serta peralatan perubatan, dan paling penting sekali, menambah kemudahan ICU.
Sejak 11 September, kita telah mempunyai tambahan 22 katil ICU dan dijangka akan mendapat 20 katil ICU lagi dalam minggu-minggu akan datang.
Kita boleh melihat kemajuan yang amat ketara dengan usaha-usaha tersebut.
Namun, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan:
- Mempercepatkan penyediaan katil ICU tambahan yang masih diperlukan.
- Memperkasakan mekanisme 3T – test, trace and treat, (dengan izin), iaitu ujian, pengesanan dan rawatan – supaya kita boleh bertindak segera jika berlaku sebarang gelombang baru di masa depan.
- Memperkenalkan sistem Penjagaan di Rumah ataupun Home Care, dengan izin di mana pesakit yang kuarantin di rumah akan dipantau oleh profesional perubatan. Kita perlu memastikan pesakit di rumah mendapat khidmat jagaan kesihatan supaya kondisi mereka tidak bertambah buruk dan bagi menggelakkan kes BID (Brought-In-Dead).
- Meningkatkan tenaga kerja perubatan untuk berdepan cabaran kesihatan masa depan. Dalam aspek ini, kerajaan perlu segera menyelesaikan isu pegawai perubatan kontrak yang telah memangsakan ramai bakat-bakat muda Malaysia.
- Memperkasakan jaringan institusi dan agensi kesihatan peringkat tempatan seperti hospital daerah, klinik kesihatan, jabatan kesihatan daerah dan sebagainya. Dalam pandemik ini, kita melihat bahawa kemudahan kesihatan peringkat daerah tidak mencukupi. Penjagaan kesihatan tidak berlaku di Putrajaya tetapi berlaku di taman-taman perumahan, desa-desa dan kampung-kampung.
- Akhir sekali, kerajaan perlu merangka satu pelan strategik penjagaan kesihatan Malaysia ataupun Malaysian Healthcare Blueprint bagi memenuhi keperluan dan cabaran abad ke-21. Pandemik seperti Covid-19 mungkin akan berulang lagi, sistem penjagaan kesihatan abad lalu tidak lagi memadai untuk berdepan dengan krisis kesihatan yang baru.
Jangan kerana kes sudah turun maka kerajaan menjadi leka. Gunakan kesempatan ini untuk terus memperkasakan sistem penjagaan kesihatan awam kita.
KONSEP “KELUARGA MALAYSIA” HANYA SEKADAR SLOGAN KOSONG KALAU WANITA, KUMPULAN RENTAN, DAN KAUM MINORITI TIDAK TERBELA
Tan Sri Yang Di Pertua,
“Keluarga Malaysia” merupakan konsep yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri di dalam ucapan sulung beliau pada 22 Ogos 2021. Di dalam ucapan tersebut, konsep “Keluarga Malaysia” ini telah disifatkan sebagai inklusif serta merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum dan selanjutnya, konsep ini turut diguna pakai di dalam perhubungan dan publisiti Kerajaan Persekutuan.
Namun demikian, bagi saya jika kebajikan serta hak golongan wanita, kumpulan rentan dan kaum minoriti tidak terbela maka Keluarga Malaysia ini adalah slogan kosong semata-mata.
Contohnya dalam isu hak menurunkan warganegara oleh wanita warganegara Malaysia kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara, meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan pada 9 September 2021 bahawa perkara ini adalah sah, kerajaan bertegas untuk membuat rayuan walaupun ditentang oleh ramai pihak termasuk Ahli Parlimen Pengerang yang baharu dilantik sebagai penasihat khas undang-undang kepada Perdana Menteri.
Apakah rakyat Malaysia kaum wanita bukan sebahagian daripada “Keluarga Malaysia” yang dilaungkan oleh YAB Perdana Menteri? Mengapa anak mereka yang dilahirkan selepas mengandung sembilan bulan tidak dianggap sebagai rakyat Malaysia? Di mana keadilan untuk wanita sekiranya perkara ini tidak menjadi masalah untuk warganegara laki-laki? Adakah nilai seorang wanita di Malaysia lebih rendah berbanding nilai seorang lelaki? Ini bukan keluarga namanya, tapi wanita rakyat Malaysia seakan-akan disuruh “keluar la”. Jika kerajaan benar-benar mengamalkan keluarga Malaysia, maka iktirafkan segera hak ibu warganegara Malaysia untuk menurunkan kewarganegaraan kepada anak mereka walaupun dilahirkan di luar negara.
Sama juga isu seperti 51% ekuiti bumiputera untuk syarikat logistik tempatan sama sekali tidak adil kepada pengusaha Malaysia. Ini bukan soal kaum atau agama, tapi soal keadilan kepada usahawan Malaysia. Syarikat luar negara tidak dikenakan syarat sebegini. Ini bukan cara untuk membantu orang Melayu, tetapi akhirnya yang terbantua ialah orang yang sememangnya sudah kaya. Kalau kerajaan nak membantu orang Melayu dan pribumi, berikan pendidikan yang baik agar mereka mempunyai peluang sama rata untuk bersaing. Saya yakin, rakyat Malaysia tidak kira Melayu Cina India Kadazan Iban malah Orang Asli kita mampu berdiri atas kaki sendiri, bersaing waima dalam pasaran dunia. Tapi bukan dengan cara memberikan jalan keluar mudah, dan jauh lagi hanya sekadar memperkayakan kroni menggunakan alasan kaum dan agama.
Kalau nak hidup berKeluarga Malaysia, maka kerajaan kena adil kepada semua. Dalam sesebuah keluarga kalau ayah dan ibu mementingkan anak sulung, anak-anak yang lain akan rasa kurang kasih sayang dan akhirnya keluarga tidak bahagia.
JANGAN MENG-ANAKTIRI-KAN PULAU PINANG
Seperti mana kerajaan kena berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira gender, kaum dan agama, kerajaan persekutuan juga perlu berlaku adil kepada semua negeri di Malaysia.
Di bawah kerajaan PN terdahulu, beberapa projek infrastruktur di negeri Pulau Pinang telah dibatal dan ditangguh tanpa alasan yang munasabah.
Pulau Pinang tiada sumber asli, negeri yang bersaiz kecil, justeru pembangunan negeri kita bergantung kepada sumber manusia dan infrastruktur untuk menarik pelaburan sama ada dari dalam atau luar negeri.
Projek-projek seperti pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dan pembinaan sistem Transit Aliran Ringan amat penting untuk memacu pembangunan negeri Pulau Pinang untuk beberapa dekad yang akan datang.
Namun disebabkan perbezaan politik, semua projek ini sudah tergendala. Saya menyeru, berasaskan semangat MOU dan konsep Keluarga Malaysia, kerajaan patut mengembalikan projek-projek ini. Lebih-lebih lagi pasca-Covid19, negeri dan negara kita memerlukan lebih banyak pelaburan awam untuk merangsangkan ekonomi yang lemah.
PEMBAHARUAN DEWAN NEGARA
Tan Sri Yang Dipertua,
Parlimen kita merupakan parlimen dwi-dewan dengan Dewan Negara memainkan peranan memerincikan rang undang-undang serta mewakili hak dan suara negeri-negeri di Parlimen.
Namun sekian lama, Ahli Dewan ini tidak mendapat kemudahan dan sokongan yang berpatutan. Kadang kalanya keadaan ini menyebabkan Dewan Negara dilihat sebagai rubber stamp yang hanya akan meluluskan segala semua perundangan yang dikemukakan pihak kerajaan.
Contohnya, tanpa peruntukan kewangan seperti Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara tidak dapat menganjurkan program rakyat untuk “reach out” dan mendekati masyarakat. Justeru, kita dilihat seperti tidak mencerminkan aspirasi masyarakat yang kita wakili.
Saya berpendapat kita perlu menghentikan persepsi tersebut terhadap Dewan yang mulia ini. Jangan lupa bahawa, kita dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Dewan-dewan Undangan Negeri, maka kita mempunyai tanggungjawab terhadap institusi-institusi mulia serta rakyat Malaysia secara amnya.
Saya ingin mengemukakan beberapa cadangan di bawah sebagai langkah kita memperkasakan institusi Dewan Negara bagi mengembalikan wibawa dewan yang mulia ini serta meningkatkan keberkesanan peranan kita sebagai Ahli Dewan:
- Penubuhan jawatankuasa khas Dewan Negara untuk memantau setiap kementerian.
- Membahas laporan-laporan penting kerajaan yang tidak dapat dibahas di Dewan Rakyat.
- Menyediakan peruntukan kewangan kepada Ahli Dewan untuk tujuan staf sokongan seperti pegawai penyelidikan, pegawai seranta, dan sebagainya.
- Menyediakan peruntukan kepada Ahli Dewan untuk tujuan program pembangunan dan kebajikan masyarakat.
Saya menyeru agar semua Ahli Dewan ini akan bersama-sama menyokong pembaharuan demi mengangkat martabat Dewan Negara.
PENUTUP
Tan Sri Yang Dipertua Dewan,
Malaysia telah mengharungi banyak cabaran besar dalam dua tahun ini – ada pengkhianatan politik yang menyebabkan ketidakstabilan politik yang berpanjangan, ada pandemik Covid-19 sehingga rakyat terkurung, murung, sakit malah lebih 26,700 nyawa yang terkorban, ada krisis kemelesetan ekonomi menyebabkan rakyat hilang kerja dan perniagaan gulung tikar.
Kerajaan PN telah masuk dalam sejarah sebagai kerajaan gagal. Kerajaan keluarga Malaysia ini perlu belajar daripada kesilapan PN – politik kena ada integriti, kena ada kecekapan dan kena mendahulukan rakyat.
Kami di pihak pembangkang, walaupun terguris dengan pengkhianatan politik yang berlaku, namun rela untuk mengenepikan kepentingan sendiri untuk bekerjasama dengan kerajaan mengeluarkan negara daripada krisis-krisis yang dihadapi, demi rakyat dan negara tercinta.
Dengan kata-kata itu, saya menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Sekian terima kasih.