Ucapan Perbahasan RUU Perbekalan 2021 YB Senator Pn Lim Hui Ying

Ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang
Perbekalan 2021
YB Senator Puan Lim Hui Ying

YB Tan Sri Yang Di Pertua,

Terlebih dahulu, ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas peluang untuk menyertai sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

Peruntukan pembangunan untuk Pulau Pinang

YB Tan Sri Yang Di Pertua,

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 6 November 2020 ini sepatutnya merupakan satu belanjawan yang amat penting, khususnya ketika negara kini berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19. Belanjawan ini sepatutnya mencerminkan keikhlasan dan kesediaan Kerajaan Persekutuan melawan pandemik COVID-19 dan seterusnya mengorak langkah pemulihan ekonomi dan pembangunan sosial, untuk membawa rakyat dan negara mengharungi era norma baharu ini.

Namun demikian, adalah begitu mengecewakan di mana belanjawan yang telah dibentangkan ini telah mengundang kritikan dan kemarahan rakyat jelata, di mana belanjawan kali ini nampaknya lebih cenderung untuk menjaga pihak-pihak yang tertentu sahaja.

Secara keseluruhan, saya percaya Ahli-Ahli Dewan Yang Mulia ini telahpun mengikuti kritikan dan rintihan rakyat terhadap belanjawan yang dibentangkan, sama ada melalui perbahasan di peringkat Dewan Rakyat atau media massa. Ingin saya menarik perhatian Dewan Yang Mulia ini kepada implikasi belanjawan yang dibentangkan ini terhadap negeri Pulau Pinang.

Belanjawan 2021 ini ternyata mengecewakan rakyat dan negeri Pulau Pinang.

Tiga projek infrastruktur utama di Pulau Pinang telah dimansuh ataupun ditangguhkan oleh kerajaan persekutuan.

Pertama, projek pembesaran lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM800 juta telah ditangguhkan sehingga selepas 2023. Projek tersebut sebenarnya telahpun diumumkan dalam Belanjawan 2020 dan amat diperlukan kerana penggunaan lapangan terbang tersebut masa kini telah menjangkau lebih kurang 30% kapasiti asal.

Keduanya, projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM100 juta telahpun dibatalkan oleh kerajaan persekutuan. Projek ini juga telah diumumkan semasa Belanjawan 2020 yang lalu. Matlamat utama ialah untuk pembangunan fasa seterusnya Bukit Bendera sebagai antara destinasi utama sektor pelancong negeri Pulau Pinang.

Ketiga, kerajaan persekutuan juga telah mengumumkan bahawa akan menarik balik jaminan pinjaman sebanyak RM32.04 bilion daripada Asian Development Bank (ADB) untuk membiayai pembangunan LRT di negeri Pulau Pinang. Projek LRT merupakan antara projek pembangunan utama negeri Pulau Pinang bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah kesesakan malah menjamin pembangunan masa depan yang lebih lestari. Dalam Belanjawan 2021, RM15 bilion telah diperuntukkan untuk projek pengangkutan seperti Lebuhraya Pan Borneo, projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru Electrified, landasan berkembar Lembah Klang fasa 1, RTS Johor Bahru ke Woodlands Singapura, dan MRT3. Selain itu, di bawah RMK12, kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM6 bilion untuk sistem transit di Kuching dan monorel di Putrajaya. Mengapa pula jaminan pinjaman sekadar RM2 bilion untuk projek pengangkutan di Pulau Pinang dibatalkan?

Dalam keadaan ekonomi yang lembab, kerajaan persekutuan telah membuat keputusan yang akan merosakkan lagi ekonomi negeri Pulau Pinang dan negara kita. Tidak hairanlah ada yang berpendapat bahawa tindakan sedemikian merupakan politik balas dendam yang akhirnya hanya akan mensabotaj diri sendiri. Kebajikan Pulau Pinang, sebagaimana kebajikan negeri-negeri lain, adalah terikat dengan kebajikan Malaysia.

Justeru, saya memohon agar kerajaan akan mempertimbangkan keputusan-keputusan di atas dan memulihkan projek-projek pembangunan tersebut kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang.

Pas perjalanan My30

YB Tan Sri Yang Di Pertua,

Merujuk kepada Ucapan Belanjawan 2021 ini, saya menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan pas perjalanan tanpa had My30 ke Pulau Pinang, yang bertujuan untuk mengurangkan beban pengguna perkhidmatan bas di Negeri Pulau Pinang.

Namun demikian, inisiatif ini sebenarnya merupakan penurunan taraf (downgrade) di mana inisiatif pas perjalanan tanpa had yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, iaitu Pas Mutiara bukan sahaja menyediakan pas perjalanan tanpa had perkhidmatan bas, malah ia merangkumi perkhidmatan feri yang dikendalikan oleh Prasarana Berhad.

Sehubungan dengan itu, ingin saya mendapatkan kepastian khususnya daripada Kementerian Pengangkutan, sama ada pengumuman pas My30 di Pulau Pinang ini akan merangkumi perkhidmatan feri tanpa had. 

Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memulakan percubaan perkhidmatan bas percuma merentas jambatan ‘CAT Bridge’ pada 1 September 2020. Ini adalah tambahan kepada perkhidmatan bas percuma ‘Congestion Alleviation Transport (CAT)’, dengan izin, yang telah lama dilaksanakan di Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri terus memperuntukkan RM15 juta untuk tujuan tersebut.

Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan dapat  mencontohi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan perkhidmatan pengangkutan awam sama ada secara percuma atau pada kadar yang lebih rendah sebagai galakan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam untuk mengatasi masalah lalu lintas di Negeri Pulau Pinang.

Sekurang-kurangnya, saya berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat menyokong inisiatif Kerajaan Negeri di dalam usahanya untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang

Kita juga mendapat berita sedih bahawa perkhidmatan feri akan dihentikan pada tahun depan. Rakyat Pulau Pinang khususnya dan rakyat Malaysia amnya akan berasa nostalgia terhadap perkhidmatan feri yang amat bersejarah di negeri Pulau Pinang.

Namun, pihak berkuasa Pelabuhan Pulau Pinang telah mengumumkan bahawa perkhidmatan feri tersebut akan dihentikan.

Saya faham masalah penyelenggaraan yang semakin memakan kos dan menyebabkan banyak kesukaran. Justeru kerajaan akan menggantikan feri sedia ada dengan water bus dan feri roro untuk kendera dua roda. Langkah ini merupakan satu pembaharuan yang tidak dapat dielakkan. Namun, saya berpendapat jurang satu tahun untuk menggantikan perkhidmatan feri sedia ada terlalu lama dan ini menunjukkan pengurusan yang tidak cekap. Peralihan sepatutnya dilaksanakan dengan lebih lancar tanpa mendatangkan kesusahan kepada pengguna perkhidmatan feri sedia ada sehingga satu tahun lamanya.

Saya ingin mengemukakan tiga cadangan di sini:

Pertama, perkhidmatan feri diteruskan walaupun pada tahap minima sehingga waterbus dan feri roro boleh berfungsi untuk menggantikan perkhidmatan feri masa kini.

Keduanya, satu atau dua buah feri lama dibaikpulih dan dikekalkan bukan sebagai pengangkutan awam tetapi sebagai tarikan pelancong. Feri-feri bersejarah tersebut boleh digunakan sebagai pengangkutan “cruise” pelancong merentas Selat Pulau Pinang.

Ketiga, perkhidmatan water bus yang bakal diperkenalkan patut diperluaskan bukan sahaja merentas dua terminal di sebelah Pulau dan Seberang Perai sahaja, tetapi dibenarkan untuk membuat hentian di sekitar persisiran kedua-dua belah Pulau Pinang. Ini mewujudkan satu rangkaian pengangkutan awam air sebagai alternatif kepada pengangkutan awam darat. Konsep ini telahpun dibentangkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Pakej Galakan Pelaburan

YB Tan Sri Yang Di Pertua,

Saya turut menyambut baik pengumuman penyediaan pakej galakan pelaburan sebanyak RM1 billion yang menyokong pelaburan R&D dalam bidang aeroangkasa dan kluster elektronik di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.

Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, Negeri Pulau Pinang terus mencatatkan keputusan yang cemerlang khususnya dari segi pelaburan domestik dan antarabangsa pada tahun ini. Meskipun berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM10.6 billion dari Januari hingga September tahun ini.

Sehubungan dengan itu, ingin saya menyeru supaya lebih banyak tumpuan dan peruntukkan dapat disalurkan kepada Pulau Pinang bagi meningkatkan dan merancakkan lagi usaha peningkatan pelaburan. Di atas kapasiti pentadbiran yang stabil dan progresif, Negeri Pulau Pinang sememangnya kian melonjak statusnya sebagai sebuah negeri bandar bertaraf antarabangsa yang menjadikannya sebuah destinasi pelaburan yang unggul.

Langkah pencegahan Wabak COVID-19

YB Tan Sri Yang Di Pertua,

Peperangan negera terhadap pandemik COVID-19 masih belum tiba penghujungnya. Meskipun kini sumber vaksinasi untuk wabak COVID-19 telahpun dikenalpasti, kita masih jauh daripada kemenangan ke atas pandemik tersebut.

Ingin saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan hadapan (frontliners) kita yang bertungkus-lumus untuk memastikan rakyat kita selamat daripada dijangkiti wabak tersebut. Saya turut memahami bahawa dengan kadar peningkatan kes secara mendadak ini, keadaan ini telah mendatangkan beban yang tinggi terhadap barisan hadapan kita.

Saya mengambil maklum pengumuman daripada Ucapan Belanjawan 2021 di mana Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan kewangan kepada kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM600 yang akan dilakukan pada tahun depan.

Namun demikian, ingin saya menyeru supaya Kerajaan dapat mempertimbangkan tambahan bantuan kewangan tersebut yang akan menjadi cara yang terbaik kita mengucapkan terima kasih khususnya kepada barisan hadapan kita. Bantuan kewangan ini juga seharusnya dipanjangkan kepada badan-badan sukarelawan seperti RELA, Bomba Sukarela dan lain-lain agensi sukarelawan yang juga merupakan sebahagian daripada barisan hadapan kita. Jangan kita lupakan jasa yang ditaburkan untuk negara daripada mereka.

Selain itu, saya menyaran agar kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada setiap kerajaan negeri sebagai dana pengurusan Covid-19. Perang ke atas Covid19 hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan jika pihak berkuasa negeri dan tempatan dilibatkan secara aktif.

Kekeliruan pelaksanaan Standard Operating Procedure

YB Tan Sri Yang Di Pertua,

Di dalam usaha kita melawan pandemik COVID-19, vaksinasi yang terbaik buat masa kini adalah dengan pematuhan Standard Operating Procedure (SOP) secara ketat. Saya mengambil maklum inisiatif dan usaha Majlis Keselamatan Negara untuk cuba menyalurkan maklumat yang terkini melalui pelbagai saluran, termasuk dengan penggunaan media sosial seperti Telegram.

Namun demikian, SOP yang telah ditetapkan setakat kini telah membangkitkan kekeliruan khususnya di kalangan orang awam. Kita masih ingat tentang kekeliruan penggunaan MySejahtera apabila mengisi minyak di stesyen petrol yang hangat dilaporkan di media massa. Kekeliruan tersebut juga timbul khasnya apabila penguatkuasaan dilaksanakan dan ini telah menimbul kemarahan rakyat di luar sana.

Jangan kita lupa tentang pengamalan sistem “di antara dua darjat” di mana layanan yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional adalah berbeza daripada apa yang rakyat perlu hadapi. Ini termasuk juga dengan pembetulan dan penukaran SOP pada saat-saat terakhir untuk membolehkan sesetengah Ahli Parlimen untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Sehubungan dengan itu, saya berharap penambahbaikan sama ada di dalam komunikasi atau pelaksanaan SOP yang berkenaan dapat dilakukan pada kadar segera. Ingin saya mencadangkan supaya maklumat-maklumat berhubung dengan SOP ini boleh disediakan di dalam pelbagai bahasa bagi memudahcarakan pelaksanaannya.

Pembangunan Perumahan Mampu Milik

YB Tan Sri Yang Di Pertua,

Saya mengambil maklum pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan di mana sejumlah RM1.2 billion akan diperuntukkan kepada hal ehwal pembangunan perumahan mampu milik. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM500 juta untuk membangunan 14,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Namun demikian dengan peruntukan yang disediakan tersebut, ia secara purata menjadikan kos pembinaan setiap unit rumah tersebut pada nilai RM35,714. Dengan mengambil kira faktor penyediaan tanah dan kos bahan pembinaan, adakah kos yang disediakan tersebut mampu untuk menyediakan unit-unit perumahan yang dijanjikan tersebut?

Saya turut berasa kecewa terhadap jawapan yang diberikan baru-baru ini di Dewan Rakyat di mana Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memaklumkan bahawa Kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM172 juta untuk lebih daripada 50% projek perumahan PR1MA yang tidak dapat dilaksanakan.

Sekiranya kita mengambil harga Perumahan Mampu Milik Jenis A di Pulau Pinang, iaitu dijual pada kadar RM72,500, kos pampasan RM172 juta tersebut akan membekalkan 2,372 unit rumah jenis kepada orang ramai dengan kos yang terlibat. Kini Kerajaan terpaksa menanggung kerugian tersebut dan rumah ini di atas kesilapan perancangan oleh pihak Kerajaan.

Sehubungan dengan itu, ingin saya mencadangkan supaya perancangan yang lebih rapi dan realistik perlu dipertimbangkan di dalam pelaksanaan pembangunan projek perumahan mampu milik ini. Selain daripada faktor harga yang menjadikan projek perumahan ini mampu dimiliki, lokasi perumahan yang disediakan tersebut juga perlu strategik dengan kemudahan dan infrastruktur yang sewajarnya.

YB Tan Sri Yang Di Pertua,

Akhir kata, saya berharap agar cadangan-cadangan yang dibangkitkan tersebut dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan di peringkat pelaksanaan pada tahun yang akan datang.

Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan semua pihak untuk mengenepikan segala perbezaan dan bersatu padu menentang pandemik COVID-19, saya berharap agar nasihat dan teguran Pakatan Harapan perlu diteliti untuk memastikan belanjawan yang dibentangkan dapat benar-benar memanfaatkan rakyat dan membawa negara Malaysia yang tercinta menuju ke era norma baharu.

Sekian, terima kasih.

Scroll to Top
Scroll to Top