Ucapan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto menjunjung titah DiRaja Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen yang ke-14.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua sukerelawan jentera pilihanraya serta team PACA Parlimen Batu Kawan dari DUN Prai, DUN Bukit Tengah dan DUN Bukit Tambun yang telah bekerja keras selama 11 hari dalam kempen pilihanraya PRU14, dibawah panas matahari dan hujan sejuk dan semua pengundi-pengundi di P46 untuk memastikan kemenangan Parlimen Batu Kawan, mengekalkan kerajaan Pulau Pinang dan sekaligus menyelamatkan Malaysia dengan kerajaan baru Pakatan Harapan.

May 9 merupakan satu tarikh yang sangat bermakna kepada semua rakyat Malaysia yang telah berganding bahu bersama-sama untuk mengubah kerajaan di Malaysia selepas 60 tahun dibawah satu kerajaan, satu rejim yang sama. Namun dengan perubahan tonggak kerajaan, perlulah juga perubahan pemikiran, sikap serta persepsi rakyat Malaysia untuk melakukan apa yang betul, dan tepat walaupun ianya sukar atau mencabar.

Sudah tiba masa untuk Parlimen menggubal RUU yang sedia ada untuk menetapkan had umur perkahwinan bagi anak-anak kita kepada umur 18 tanpa apa-apa pengecualian. Hari ini di Malaysia, walaupun umur 18 adalah umur rasmi seseorang boleh berkahwin, namun kerana wujudnya pengecualian dalam undang-undang sivil dimana seseorang yang berumur 16 tahun boleh berkahwin dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa mereka serta persetujuan Ketua Menteri atau Menteri Besar bagi pemohon. Bagi yang beragama Islam, dengan persetujuan kedua-kedua ibubapa serta dengan kebenaran bertulis dari mahkamah syariah, maka pernikahan tersebut adalah sah disisi undang-undang.

Dalam kes lelaki yang berumur 41 tahun yang telah bernikah dengan gadis 11 tahun di Gua Musang Kelantan, masih tidak dapat diputuskan samada sijil nikah dari Mahkamah di Thailand adalah sijil yang asli atau rasmi yang menghalalkan perkahwinan tersebut memandangkan perkahwinan itu berlaku di Thailand. Mengikut Chiangrai Times berita media online, satu laporan perubatan keatas budak perempuan ini menunjukkan bahawa wujud tanda-tanda hubungan seks yang mungkin berlaku beberapa tahun yang lalu. Negara Thai telah memberi komitmen dan janji untuk memerangi perkahwinan kanak-kanak, negara Malaysia bila lagi? Iltizam 4 dalam manifesto Pakatan Harapan memastikan sistem perundangan melindungi hak dan kehormatan wanita dengan menggubal undang-undang untuk menetapkan umur 18 sebagai had umur minimum perkahwinan. Selama BN menjadi kerajaan, tiada usaha yang serius dan realistik untuk memastikan tiada lagi gejala perkahwinan kanak-kanak berlaku lagi. Malahan ada juga wakil rakyat UMNO yang telah menyatakan bahawa tindakan mangsa rogol, terutama kanak-kanak yang telah dirogol patut mengahwini perogol sebagai satu langkah untuk menyelesaikan masalah sosial di Malaysia. Kenyataan yang bangang seperti ini adalah sebab mengapa Pakatan Harapan akan menjadi kerajaan untuk memperjuangkan dan melindungi hak kanak-kanak di Malaysia dan sekaligus memerangi perkahwinan kanak-kanak. Perkahwinan kanak-kanak merupakan satu jenis penganiayaan atau violation terhadap hak asasi manusia terutama sekali hak kanak-kanak yang akan meninggalkan impak yang mendalam dari segi aspek ketumbesaran dan kehidupan kanak-kanak. Perkahwinan kanak-kanak menafikan hak dan peluang kanak-kanak lelaki dan perempuan untuk menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak, menghadkan segala peluang yang ada, menggendalakan pendidikan mereka, menjadikan mereka mangsa keganasan dan keganasan seksual, merampas peluang pekerjaan yang berkualiti kerana kurang kemahiran serta sekaligus mengancam kesihatan kanak-kanak ini. Satu tubuh kanak-kanak tidak boleh berkandung badan untuk melahirkan seorang lagi kanak-kanak ke dalam satu dunia yang penuh dugaan dan cabaran yang tidak menentu.

Mengikut jawapan kepada soalan saya kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung statistik kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berkahwin sesama sendiri atau kanak-kanak yang berkahwin dengan dewasa, pertama, statistik KDN menunjukkan bagi tahun 2017, seramai 147 kanak-kanak bukan Islam telah berkahwin dengan kanak-kanak, diantara umur 13 dan 17. Manakala, seramai 212 kanak-kanak bukan Islam berkahwin dengan dewasa. Namun, wujud beberapa percanggahan dalam statistik yang diberikan dimana mengikut pecahan negeri jumlahnya adalah 968 kanak-kanak bukan Islam yang berkahwin dengan dewasa dan 877 kanak-kanak yang beragama Islam yang berkahwin dengan pasangan yang sebaya yang jumlah keseluruhannya 1845.

Diantara Januari 2013 hingga Disember 2017, 5362 orang telah membuat permohonan kebenaran bernikah bawah umur bagi yang beragama Islam.

Saya ingin mencadangkan agar data dan statistik berhubung perkahwinan kanak-kanak Islam dan bukan Islam ini, sekiranya diletakkan dibawah Akta Rahsia Rasmi agar dikeluarkan dari senarai ini kerana peperangan melawan perkahwinan kanak-kanak bermula dengan data dan statistik yang padu dan tepat tanpa rasa khuatir untuk melindungi mana-mana pihak, gender, kaum atau agama. Zalim untuk seorang kanak-kanak berkahwin dengan seorang dewasa semata-mata untuk kepuasan nafsu.

Saya menyeru kepada pihak kerajaan dan secara spesifik kepada kerajaan negeri Kelantan melalui ahli-ahli Parlimen Kelantan supaya memandang serius akan kejadian perkahwinan kanak-kanak di Gua Musang kerana jika ini dibiarkan dan dihalalkan, maka ianya akan digunakan sebagai satu tanda ukur atau precedence kepada semua bakal pedofil diluar sana yang akan menggunakan alasan ini untuk mengahwini kanak-kanak yang tidak berdosa ini.

Dengan pengakuan pemangsa bahawa dia telah menyukai tau mencintai kanak-kanak 11 tahun ini dengan niat untuk mengahwininya, maka ini merupakan satu bukti penyatunan atau grooming iaitu satu jenayah yang berat dibawah Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak. Laporan polis juga telah dibuat oleh seorang aktivis kanak-kanak Dr Hartini Zainuddin terhadap lelaki jijik ini namun tiada apa-apa tindakan dari PDRM untuk memulakan siasatan keatas lelaki ini. Janganlah kita memberikan “free pass” kepada mana-mana penjenayah seksual kanak-kanak untuk bersembunyi disebalik agama atau dengan memanipulasi undang-undang yang sedia ada untuk menyuburkan nafsu jijik dengan mengahwini kanak-kanak.

Pada masa yang sama saya ingin membangkitkan satu perkara di Dewan yang mulia ini berhubung kes guru agama Islam yang telah mencabuli dan berkelakuan tidak senonoh terhadap kanak-kanak dibawah umur 10 tahun di dalam surau di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Jabatan Pendidikan Pulau Pinang telah merehatkan beliau daripada mengajar dan diletakkan untuk ‘desk duty’ sementara menunggu siasatan dalaman. Walaupun 6 laporan polis telah dibuat oleh ibubapa kanak-kanak namun belum ada tindakan dari pihak PDRM. Mengapa pihak berkuasa mengambil ringan perkara seperti ini? “An inaction on the behalf of these sexual predators is a free pass for others to quietly work under the radar”. Adakah sekolah bimbang akan rating atau KPI mereka akan terjejas jika laporan dibuat? Maka saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan agar menggalakkan sekolah untuk melaporkan gejala buli serta kes jenayah seksual tanpa menyembunyikan atau menutupi perkara jijik ini. Sekarang ini banyak sekolah takut untuk membuat laporan kerana khuatir jika KPI atau rating mereka akan menurun kerana dibawah Barisan Nasional dahulu, ia akan “affect” peruntukan yang akan diberikan juga kepada sekolah.

Reverse KPI dengan memberi merit kepada sekolah yang melaporkan gejala buli atau jenayah seks harus digalakkan lagi supaya mangsa dan sekolah itu sendiri dapat melaporkan kes tersebut tanpa rasa takut.

Tuan Speaker,

Isu saya yang seterusnya yang berkaitan adalah keperluan sukatan pendidikan seks di semua sekolah dari pra-sekolah lagi. Sukatan pendidikan seks ini boleh diolah dan digubal secara spesifik mengikut budaya, keperluan dan isu yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Sukatan pendidikan seks ini boleh diberikan nafas baru dan wajah baru dengan mengajar kanak-kanak dari pra-sekolah lagi apa itu sentuhan yang dibenarkan dan sentuhan yang tidak dibenarkan, atau dengan izin, “good touch” dan “bad touch” yang akan memberi perlindungan awal kepada anak-anak kita. Sukatan tersebut juga harus merangkumi topik-topik dan soalan-soalan yang remaja kini sering tanya supaya dapat dijawab dibangku sekolah daripada mendapat khidmat nasihat daripada rakan-rakan sebaya yang juga yang “blur” seperti yang lain. Maka, dengan sukatan yang menyentuh penggunaan perlindungan dan jangkitan penyakit seksual atau “sexually transmitted disease” kerana ramai remaja diluar sana tidak tahu apa itu perancangan keluarga atau “family planning” atau tanggungjawab untuk mendirikan rumahtangga. Ramai dewasa pun terkapai-kapai untuk memastikan rumahtangga mereka itu stabil dan kukuh, apatah lagi remaja atau kanak-kanak.

Prinsip kesaksamaan gender juga harus diselitkan sekali dalam sukatan pendidikan seks untuk pastikan budaya partriarki atau misoginistik dimana wanita diberi layanan kelas kedua akan menjadi “a thing of the past”. Harapan baru saya adalah semua sekolah memberi komitmen untuk memastikan topik kesaksamaan gender, menghormati ruang peribadi seseorang, dan isu remaja yang hamil atau “teen pregnancies”.

Hari ini, kita dikejutkan sekali lagi dengan statistik dari Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan seramai 4992 bayi luar nikah yang dilahirkan oleh ibu muda yang berumur 18 dan kebawah bagi tahun 2017. Maka, diharap pendidikan seks dapat dimasukkan dalam sukatan pelajaran dengan menggunakan best practices dari negara-negara yang membuahkan hasil yang positif dengan usaha ini.

Tuan Speaker,

Semalam 24 Jun, genap setahun saya membahaskan pindaan RUU Keganasan Rumahtangga dan untuk ‘stalking’ atau menghendap itu dijenayahkan untuk memberikan perlindungan kepada mangsa keganasan rumahtangga yang mendapat EPO atau Emergency Protection Order supaya pasangan mereka tidak akan menganggu gugat kebebasan pergerakan mangsa. Oleh itu, stalking haruslah dijenayahkan secepat mungkin, dalam RUU Keganasan Rumahtangga untuk melindungi mangsa penderaan, dan didalam kanun keseksaan supaya rakyat sejagat akan diberikan perlindungan sewajarnya seperti dalam kes wakil rakyat wanita dari Pakatan Harapan yang menjadi mangsa stalking seperti Sdri Syerleena dan Sdri Maria Chin yang telah menerima ugutan bunuh dan juga saya sendiri dimana seorang lelaki telah memuatnaik satu kenyataan fitnah terhadap saya yang menyataklan “tunggu apa lagi, asah pedanglah”. Sudah tiba masanya Dewan yang mulia ini menggubal atau meminda akta untuk menjenayahkan tindakan “stalking”, dan dalam nadi yang sama, juga menggubal undang baru untuk memberikan hak asasi kepada kaum wanita yang selama ini dirampas oleh kerajaan BN seperti Akta Kesamarataan Gender dan Akta Gangguan Seksual.

Tuan Speaker,

Berikut, saya ingin membangkitkan isu pembinaan balai polis di Parlimen Batu Kawan khususnya bagi Balai Polis Simpang Ampat. Sudah lebih satu tahun kerja-kerja piling berjalan diperkarangan balai polis tersebut. Tarikh projek siap adalah tahun hadapan tetapi kerja-kerja pembinaan masih belum berjalan dengan sewajarnya. Ingat, lebih lama diambil untuk membina, lebih tinggi kos pembinaan tersebut. Banyak projek dari zaman BN yang dibina melalui kroni-kroni syarikat yang kos pembinaannya jauh lebih tinggi dari kos sebenar namun pada hari ini, pembinaan sebuah balai polis pun diambil masa yang begitu lama untuk dibina. Rumah pemimpin BN dahulu semasa berkuasa mewah yang nampak mahal tetapi balai polis masih ada baldi kecil disatu sudut kerana bumbung bocor atau penghawa dingin zaman yang tidak dapat kita lihat diluar sana, dapat dilihat di balai polis di Malaysia. Maka, saya ingin bertanya apakah kos pembinaan balai polis simpang ampat serta apakah tempoh masa pembinaan balai tersebut dan apakah rancangan kerajaan untuk membaikpulih Balai Polis Prai, Balai Polis Bukit Tengah dan Balai Polis Bukit Tambun yang kelihatan agak kasihan dengan peralatan dan kemudahan yang agak outdated.

Dalam nafas yang sama, ingin saya juga bertanyakan samada pihak kerajaan akan menyemak semula skim penggajian bagi anggota polis dan anggota BOMBA kerana dalam lawatan saya ke balai-balai BOMBA dikawasan saya, saya mendapati kemudahan untuk menukar lampu di ruang tempat memparkir trak BOMBA dibiayai oleh anggota BOMBA sendiri, malah ada yang membeli kasut but pun dengan wang sendiri walaupun gaji yang diperolehi agak rendah. Saya ingin memohon agar lebih peruntukan kemudahan diberikan kepada anggota BOMBA kerana mereka umpama Supermen dan Superwomen yang bidang kerja meliputi menyelamatkan kucing diatas pokok, monyet atau ular yang masuk rumah, mengawal kebakaran, sebahagian team penyelamat bagi mangsa lemas, team yang berkepakaran untuk menyelamatkan mangsa kemalangan jalanraya serta kerja-kerja menyelamat yang lain.

Saya mohon agar semua pembayaran backdated yang tidak dibayar dibawah BN akan diselesaikan oleh kerajaan baru yang bersih Pakatan Harapan.

Tuan Speaker,

Isu baru-baru ini berhubung dengan caj pemprosesan visa pekerja dari Nepal yang terlalu tinggi yang ditetapkan melalui syarikat Bestinet Sdn Bhd yang dilantik dibawah Jabatan Imigresen serta syarikat-syarikat lain seperti Malaysia VLN Nepal, Ultra Kirana Sdn Bhd serta OSC yang mengendalikan tugas-tugas Jabatan Imigresen semasa zaman BN dulu. Nak ambil cap jari biometric pun terpaksa membayar, walhal perkara itu tidak perlu bayaran apa-apapun. Skandal yang berputik dizaman Bagan Datuk menjadi Mentyeri Dalam Negeri ini amat memalukan negara Malaysia kerana telah menyalahgunakan kuasa dengan menetapkan caj pemprosesan visa yang terlalu tinggi tanpa apa-apa justifikasi, menetapkan 39 klinik di Nepal untuk pekerja menjalani pemeriksaan kesihatan, lalu merompak wang dari pekerja asing Nepal yang miskin dan susah yang mahu bekerja di Malaysia. Takkan mantan KDN tak tahu mengenai skandal memandangkan beliau sendiri telah mempertahankan kewujudan Ultra Kirana Sdn Bhd dan Bestinet yang memproses caj visa pelawat dari China juga. Oleh yang demikian, saya memohon agar kerajaan Pakatan Harapan baru melancarkan satu penyiastaan menyeluruh untuk menangkap dalang disebalik skandal jijik ini bersama dengan Wisma Putra memandangkan kerajaan Nepal dikatakan akan menghentikan penghantaran tenaga kerja Nepal ke Malaysia.

Akhir kata Tuan Speaker,

Saya menyokong cadangan Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri untuk Agama YB Parit Buntar yang memberi komitmen untuk menjenayahkan “hate speech” dan dalam nadi yang sama menjunjung prinsip kebebasan agama berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini tidak dipedulikan oleh Barisan Nasional sebelum ini. Akta Hasutan mesti dimansuhkan dan kerajaan harus menghidupkan kembali Akta Harmoni Nasional supaya dasar-dasar kerajaan baru Pakatan Harapan akan memastikan semua penganut agama di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan terbela. Parti politik yang menunggang agama untuk kepentingan politik dan kedudukan mereka, parti politik yang berasaskan pecahan kaum adalah budaya aparteid yang pada satu masa dahulu, Malaysia sendiri telah membantah.

Kerajaan Pakatan Harapan telah melakukan apa yang kerajaan BN tidak dapat lakukan selama 60 tahun ini – iaitu menyemai semangat cintakan tanahair dan keperluan sejagat untuk menyelamatkan dari sebuah krajaan kleptokrat.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, demi Malaysia baru.

Dengan ini, Batu Kawan mohon menyokong.

Sekian, terima kasih.

Scroll to Top
Scroll to Top