Toleransi Sifar Terhadap Penderaan Seksual: EXCO LIM SIEW KHIM

KENYATAAN MEDIA YB LIM SIEW KHIM, EXCO KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG MERANGKAP ADUN SUNGAI PINANG BERTARIKH 8HB SEPTEMBER, 2023:

Toleransi Sifar Terhadap Penderaan Seksual

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sentiasa komited dalam membanteras segala bentuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Sebuah laporan dalam The Star bertarikh 8hb September 2023 menyatakan bahawa seorang gadis berumur 17 tahun mendakwa dia telah dicium di bibir dan dipeluk oleh seorang lelaki, yang dipercayai sebagai pengerusi pusat tersebut.

Seorang pemimpin sebuah NGO, yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah PWDC, telah segera bertindak berhubung kes ini, dengan memberikan bantuan yang diperlukan serta nasihat kepada mangsa.

Kemudian, tindakan segera juga telah diambil oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang dengan memindahkan mangsa bersama-sama adik-beradiknya yang berumur 10, 14, dan 15 tahun ke sebuah pusat perlindungan, memandangkan ibu mereka berada di luar negeri dan tiada penjaga yang sedia ada.

Untuk pengetahuan umum, kerajaan kini sedang melaksanakan projek pembinaan semula pusat perlindungan kanak-kanak di Kepala Batas yang dijangka siap pada tahun 2025.

Sementara itu, terdapat pusat perlindungan yang dikendalikan oleh NGO sentiasa bersedia memberi perlindungan kepada kanak-kanak dalam situasi sebegini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pengendali pusat perlindungan membuat pendaftaran bagi pusat mereka dengan kadar segera.

Pendaftaran ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan masyarakat, tetapi juga memastikan pusat-pusat tersebut mematuhi undang-undang demi keselamatan anak-anak.

Walaubagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa keselamatan kanak-kanak tidak semestinya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab kolektif yang harus kita galas bersama sebagai masyarakat.

Setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di sekitar kita terus terjamin. Oleh itu, sekiranya anda melihat atau mendengar tentang kes-kes yang mencurigakan, maka segerakan untuk membuat laporan polis.

Dengan memupuk kesedaran serta tindakan proaktif dari setiap lapisan masyarakat, kita boleh mengurangkan insiden seperti ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk gangguan seksual, terutamanya apabila melibatkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

LIM SIEW KHIM
EXCO PEMBANGUNAN SOSIAL, KEBAJIKAN DAN HAL EHWAL BUKAN ISLAM MERANGKAP ADUN SUNGAI PINANG

Scroll to Top
Scroll to Top