Timbalan Menteri Wan Fayshal patut baca surat kepada MB dengan lebih teliti: Pegawai khas Pejabat EXCO Muhammad Shahrizul

KENYATAAN MEDIA MUHAMMAD SHAHRIZUL MUIZ (ZUL), PEGAWAI KHAS DI PEJABAT EXCO NEGERI PULAU PINANG MERANGKAP SETIAUSAHA ORGANISASI DAPSY TANJONG:

TIMBALAN MENTERI WAN FAYSHAL SEPATUTNYA MEMBACA SURAT KEPADA MENTERI BESAR KEDAH DENGAN LEBIH TELITI SUPAYA DAPAT MEMAHAMI KANDUNGAN

Pandangan Wan Fayshal mengenai surat peribadi Sdr. Muzzammil Ismail beralamat kepada Pejabat Menteri Besar Kedah merupakan suatu surat yang tidak wajar dibocorkan kepada awam kerana ia boleh mendatangkan salah faham kedengaran agak menjengkelkan dan kebarangkaliannya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Fayshal tidak membaca surat itu dengan teliti.

Surat tersebut menyatakan dengan begitu terang lagi bersuluh bahawa Sdr. Muzzammil Ismail menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pengarah di mana-mana agensi atau syarikat anak negeri di Kedah. Adakah Timbalan Menteri tersebut masih tidak memahami dengan konteks surat tersebut ? atau beliau menganggap budaya kronism suatu budaya normal bagi Kerajaan Pimpinan PN ?

Pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam GLC perlu melalui sistem merit untuk memastikan syarikat berkenaan diterajui bukan berdasarkan pengaruh politik,  percanggahan kepentingan (conflict of interest), salah guna kuasa dan rasuah sebaliknya golongan teknokrat atau mereka yang berkelayakan untuk memacu pertumbuhan syarikat.

Exco Pendidikan Armada pula menyatakan bahawa surat yang dihantar oleh Sdr. Muzzammil sebenarnya hanya untuk meminta kerja, tetapi adakah beliau sedar perbezaan di antara memohon kerja dan melobi (lobbying) kerja menggunakan pengaruh politik? Sekiranya beliau memohon kerja kenapa tidak menggunakan prosedur yang sepatutnya iaitu salah satunya melalui portal SPA?

Menteri Sumber Manusia M Saravanan juga menasihati rakyat untuk tidak terlalu memilih kerja dan perlu merebut peluang pekerjaan yang ada, ketika dunia berdepan dengan kelembapan ekonomi pada masa ini. Ramai yang kehilangan kerja dan berhadapan dengan pengangguran tetapi Sdr. Muzzammil dengan sewenang-wenangnya membuat permohonan melalui surat yang berlatarbelakangkan logo PPBM serta menyatakan jawatan beliau dalam Parti PPBM kepada Menteri Besar Kedah, adakah perbuatan meminta – minta jawatan seperti ini adil?

Kita harus sedar bahawa meminta-minta jawatan itu adalah penyakit yang pernah ditegur oleh Nabi S.A.W;

“Wahai Abd Rahman, jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau akan ditinggalkan dan tidak akan dibantu dan jika engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau akan dibantu dan mendapat pertolongan”
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Saya berharap Sdr. Muzzammil mengambil pedoman dengan hadis di atas dan bagi mereka yang menyokong perbuatan ini secara tidak langsung juga telah menyokong dengan penerusan dalam tradisi mengejar pangkat dan duit menggunakan pengaruh politik. Janganlah kita jadikan medan politik ini sebagai suatu lubuk untuk penuhkan tembolok masing-masing.

MUHAMMAD SHAHRIZUL MUIZ
04hb JULAI 2020

Scroll to Top
Scroll to Top