Kenyataan media oleh Joshua Woo Sze Zeng (Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Pulau Pinang), bertarikh 1hb Ogos 2024.
Data terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa pertumbuhan KDNK Pulau Pinang telah terjejas oleh pengurangan permintaan global untuk produk elektrik, elektronik dan optik. Sektor pembuatan negeri Pulau Pinang mencatatkan kadar -0.5% pada tahun 2023.
Akibatnya, Pulau Pinang telah jatuh daripada kedudukan teratas negara pada 2022, dengan kadar pertumbuhan 13.3%, ke kedudukan kelima pada 2023, dengan kadar pertumbuhan 3.3%, malah di bawah purata kebangsaan 3.6%.
Kesan daripada kemerosotan dalam sektor pembuatan diimbangi oleh peningkatan ketara dalam sektor pembinaan Pulau Pinang yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 23.6% pada 2023 (7.9% pada 2022). Jika tidak kerana aktiviti pembinaan yang meningkat, ekonomi Pulau Pinang akan lebih teruk daripada 3.3%.
Salah satu penyumbang penting kepada sektor pembinaan Pulau Pinang ialah pembangunan Silicon Island yang bermula pada September 2023.
Projek ini telah menyuntik RM 295 juta ke dalam ekonomi tempatan, dan mewujudkan 373 pekerjaan untuk rakyat Malaysia, di mana kira-kira 50% daripada jumlah tersebut adalah tenaga kerja Bumiputera. Rangsangan ekonomi seperti Silicon Island telah meningkatkan KDNK Pulau Pinang apabila sektor lain terjejas oleh pasaran global.
Atas sebab ini, KDNK per kapita Pulau Pinang telah meningkat ke kedudukan ketiga pada 2023 daripada yang keempat pada tahun sebelumnya walaupun sektor pembuatan telah menguncup sebanyak 0.5%. KDNK per kapita negeri pada tahun 2023 adalah sebanyak RM 72,586, di belakang dua wilayah persekutuan, Kuala Lumpur (RM 131,038) dan Labuan (RM 83,596).
Tanpa rangsangan ekonomi seperti Silicon Island, prestasi ekonomi Pulau Pinang akan terjejas teruk oleh faktor global.
Oleh itu, kumpulan antipembangunan dan parti pembangkang yang membantah pelbagai inisiatif pembangunan di Pulau Pinang adalah ancaman kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Semasa Kerajaan Negeri melancarkan pembangunan Silicon Island, kumpulan antipembangunan memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan projek itu. Apabila semakan kehakiman mereka ditolak oleh mahkamah tinggi, mereka menyatakan hasrat untuk merayu terhadap penolakan itu.
Walaupun menghadapi pelbagai tentangan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus membawa pembangunan kepada negeri. Kerajaan Negeri perlu terus mempelbagaikan ekonomi supaya Pulau Pinang kekal berdaya tahan terhadap kuasa pasaran yang tidak dapat dikawal. Tiada kompromi terhadap pembangunan Pulau Pinang.