Surat Ketua Menteri Pulau Pinang kepada YAB Perdana Menteri Malaysia (Bantuan Banjir dan Peruntukan RTB)

17 November 2017

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Perdana Menteri Malaysia,

Pejabat Perdana Menteri Malaysia,

Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

62502 Putrajaya

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,

BANTUAN KEWANGAN PERSEKUTUAN UNTUK MANGSA BANJIR DAN KELULUSAN PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR (RTB) SEBANYAK RM1 BILION AKIBAT BENCANA RIBUT DAN BANJIR TERBURUK DALAM SEJARAH NEGERI PULAU PINANG PADA 4-5 NOVEMBER 2017

Dengan penuh hormat izinkan saya menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada YAB Dato’ Sri di atas kesudian melakukan lawatan meninjau keadaan banjir di Negeri Pulau Pinang pada 7 November 2017. Kerajaan Negeri menghargai usaha Kerajaan Persekutuan membantu Pulau Pinang dalam segala aspek penyelamatan dan pemindahan mangsa-mangsa banjir.

2. Pada masa sama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar bantuan kewangan dapat diberikan kepada mangsa-mangsa banjir dan juga untuk menjalankan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang diperlukan untuk mengurangkan kesan banjir. Dalam lawatan tersebut, YAB Dato’ Sri telah diberi taklimat ringkas oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) mengenai punca kejadian banjir serta jumlah mangsa yang dipindahkan termasuk cadangan bagi mengatasi punca kejadian banjir.

3. Ketika taklimat tersebut juga, anggaran kerosakan masih lagi sedang dinilai dan Pengarah JPS Negeri telah antara lain mencadangkan sebanyak 13 projek yang dianggarkan memerlukan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi menangani banjir di Pulau Pinang secara jangka masa panjang. Lagipun, permohonan RM1 bilion adalah kurang daripada RM1.6 bilion yang telah pun diluluskan di bawah Rancangan Malaysia sebelum ini tetapi masih belum dibelanjakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

4. Sehubungan dengan perkara tersebut, Kerajaan Negeri sehingga kini masih lagi belum dimaklumkan akan keputusan Kerajaan Persekutuan sama ada peruntukan berjumlah RM1 bilion dapat diberi pertimbangan untuk dijalankan dengan segera. Adalah diharapkan YAB Dato’ Sri boleh meluluskan peruntukan tersebut agar dapat membantu mengatasi masalah banjir yang telah dijanjikan dan diluluskan sebelum ini.

5. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memohon agar YAB Dato’ Sri dalam masa terdekat ini dapat menimbangkan kelulusan dan membuat pengumuman mengenai jumlah bantuan kewangan yang akan disalurkan kepada kesemua mangsa yang terlibat dengan banjir. Pengumuman bantuan kewangan oleh YAB Dato’ Sri adalah amat penting bagi mangsa-mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan kewangan selepas mengalami kerugian besar dalam musibah banjir tempoh hari.

6. Akhirnya, sekali lagi saya bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan YAB Dato’ Sri dan berharap YAB Dato’ Sri dapat membuat pengumuman bantuan banjir yang berlaku pada 4-5 November 2017 dengan kadar segera. Semoga YAB Dato’ Sri dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

LIM GUAN ENG

Ketua Menteri Pulau Pinang

Scroll to Top
Scroll to Top