Wed. Oct 14th, 2026

Sesi Temu Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang Bersama Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen Tasek Gelugor

Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang meneruskan siri lawatan turun padang dengan mengadakan sesi pertemuan bersama Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen DAP Tasek Gelugor.

Sesi ini diadakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan antara kepimpinan negeri dan akar umbi parti di setiap kawasan parlimen, termasuk kawasan yang tiada wakil rakyat DAP.

Dalam ucapan Penyelaras Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen Tasek Gelugor, Sdr. Ooi Boon Sun memaklumkan bahawa DAP Tasek Gelugor kini mempunyai 14 cawangan aktif, dengan fokus utama di kawasan Teluk Air Tawar dan Sungai Dua, manakala Permatang Berangan masih belum mempunyai cawangan. Beliau menegaskan bahawa ramai penduduk tempatan datang meminta bantuan, menunjukkan keperluan mendesak bagi pengukuhan sokongan daripada Jawatankuasa Negeri untuk kawasan yang tidak mempunyai wakil rakyat DAP.

“Kibarkan Roket Walau Tanpa Gentar” — Steven Sim

Pengerusi DAP Pulau Pinang, YB Steven Sim dalam ucapannya menyampaikan ucapan Deepavali kepada penganut Hindu dan menzahirkan penghargaan atas semangat perjuangan ahli-ahli DAP di Tasek Gelugor.

“Walaupun DAP tidak mempunyai kerusi di sini, namun saya bangga melihat semangat juang akar umbi yang terus ‘mengibarkan roket tanpa gentar’. Ini bukti perjuangan DAP bukan bergantung pada kedudukan, tetapi pada prinsip dan khidmat kepada rakyat,” ujar beliau.

Steven Sim menegaskan bahawa wakil rakyat DAP sentiasa membantu rakyat walaupun di luar kawasan masing-masing, dan pihak Jawatankuasa Negeri akan terus turun padang ke semua kawasan parlimen untuk mendengar suara akar umbi.

“Rakyat tidak perlu datang mencari pemimpin, pemimpinlah yang perlu turun mencari rakyat,” katanya.

Bajet 2026: Belanjawan untuk Semua

Beliau turut menyentuh mengenai Bajet 2026 yang disifatkannya sebagai “belanjawan untuk semua”, dengan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat seperti insentif cukai pelupusan kereta, bantuan tunai STR, serta pelbagai bentuk penghargaan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Pelbagai isu telah dibangkitkan oleh para ahli termasuklah cadangan mewujudkan sistem khas peruntukan bagi kawasan yang tiada YB, termasuk Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen DAP, bantuan pakaian seragam untuk sekolah Cina, menubuhkan biro khas bagi Orang Kurang Upaya (OKU) serta melonggarkan syarat kelayakan BUDI95 bagi OKU yang tidak memiliki lesen memandu.

Sesi ini mencerminkan komitmen DAP Pulau Pinang untuk memastikan tiada kawasan yang terpinggir, dan bahawa setiap rakyat tetap mendapat perhatian dan pembelaan, selaras dengan semangat perjuangan parti iaitu berkhidmat untuk semua, tanpa mengira sempadan politik.

Ahli-ahli Jawatankuasa Negeri yang turut hadir dalam sesi ini ialah Daniel Gooi, Joshua Woo, Phee Boon Chee, Phee Syn Tze, Lee Wei Seang, Rachel Teh, Ooi Yong Wooi, Ketua DAPSY Negeri Derick Chong dan Setiausaha Eksekutif Chris Lee.