Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang telah mengadakan sesi temu bersama ahli-ahli parti di kawasan Parlimen Tanjong dan Jelutong pada 2 Ogos 2025 (Sabtu). Sesi ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan ke akar umbi bagi memahami isu-isu setempat, mendengar pandangan anggota parti, dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr Steven Sim Chee Keong dalam ucapannya menegaskan bahawa DAP Pulau Pinang sentiasa mendahulukan prinsip kebersamaan dalam kepimpinan. Beliau menyatakan bahawa DAP bersatu dalam menyuarakan hak dan kebajikan rakyat. Dalam menghargai ahli, DAP, katanya, tidak melupakan sesiapa, termasuk para veteran parti.
Steven turut menyentuh tentang sesi temu bersama ahli-ahli DAP di 10 kawasan parlimen termasuk 2 kali bersama ahli-ahli daripada komuniti India.
Steven Sim menyifatkan kawasan Tanjong dan Jelutong sebagai simbol sejarah perjuangan tokoh besar DAP seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang. Pulau Pinang juga akan menyambut ulang tahun ke-60 DAP bagi terus meraikan kejayaan parti ini dengan penuh meriah.
Penyelaras Kawasan Parlimen Tanjong, Sdri Lim Hui Ying menegaskan kepentingan kerjasama erat antara parti komponen Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan. Lim juga menyeru agar maklumat dan pencapaian Kerajaan Perpaduan mengenai reformasi yang dilakukan termasuk dalam RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) disebarluaskan.
Penyelaras Kawasan Parlimen Jelutong, Sdr R.S.N. Rayer pula mengangkat isu integriti dan pentadbiran yang telus mengenai Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang. Beliau menegaskan pendirian tegas DAP dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa.
Dalam sesi dialog, pelbagai isu telah dibangkitkan oleh ahli akar umbi termasuk isu berkaitan projek Mutiara LRT, pengurusan MBPP, lesen tadika dan pusat tuisyen, kebajikan ahli, dan penglibatan belia.
DAP Pulau Pinang komited untuk meneruskan sesi temu ini sebagai usaha mendekati suara akar umbi, memperkasa parti, dan memastikan suara setiap anggota dihargai.
Antara pimpinan Jawatankuasa Negeri yang hadir dalam sesi ini ialah Sdr Phee Boon Chee, Sdri Lim Siew Khim, Sdr Joshua Woo, Sdr Soon Lip Chee, Sdr Teh Lai Heng, Sdr Daniel Gooi, Sdri Rachel Teh, Sdr Lee Wei Seang. Whip Ahli Majlis MBPP DAP Sdri Tan Soo Siang dan Whip Ahli Majlis MBSP DAP Sdr Bernard Cheen serta Setiausaha Eksekutif DAP Pulau Pinang, Sdr Lee Chun Kit turut hadir bersama.