KENYATAAN MEDIA DAP PULAU PINANG | 29 JUN 2025
Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang telah mengadakan sesi temu bersama ahli-ahli parti di kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 28 Jun 2025 (Sabtu). Sesi ini merupakan sebahagian daripada usaha Jawatankuasa Negeri untuk mendengar suara akar umbi dan memahami isu-isu setempat.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr Steven Sim menegaskan bahawa politik bukanlah alat untuk merebut kuasa, tetapi satu komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat. Beliau menekankan prinsip “memimpin dengan integriti dan berkhidmat dengan keikhlasan”, serta mengingatkan para pemimpin parti agar kekal berjuang dengan ikhlas, beretika dan penuh tanggungjawab. Inilah asas untuk memastikan DAP terus mendapat kepercayaan rakyat secara konsisten.
Penyelaras kawasan Parlimen Permatang Pauh, Sdr Kumaran Krishnan menegaskan kepentingan memperkukuh kekuatan ahli-ahli parti di kawasan tersebut bagi menyokong rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan dalam usaha menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sesi dialog ini telah membincangkan pelbagai isu yang berkait rapat dengan pembangunan Permatang Pauh, termasuk hal-hal berkaitan pembangunan infrastruktur trafik tempatan dan aktiviti untuk menarik penglibatan anak muda dalam parti.
DAP Pulau Pinang komited untuk meluaskan sesi temu ini ke seluruh negeri, sebagai langkah nyata mendekati rakyat dan memastikan setiap suara didengar dan dihargai.
Antara pimpinan Jawatankuasa Negeri yang hadir dalam sesi ini ialah Sdr Phee Boon Chee, Sdr Lim Siew Khim, Sdr Joshua Woo, Sdr Soon Lip Chee, Sdr Phee Syn Tze, Sdr Lee Wei Seang dan Sdr Ooi Yong Wooi. Setiausaha Eksekutif DAP Pulau Pinang, Sdr Lee Chun Kit turut hadir bersama.