Senator Hui Ying seru rakyat tamatkan retorik merosak perpaduan negara

SENATOR LIM HUI YING MENYERU RAKYAT MENAMATKAN RETORIK YANG MEROSAKAN PERPADUAN NEGARA

Berita palsu yang berbaur perkauman dan politik fitnah telah menjadi suatu lumrah biasa dikalangan rakyat jelata akibat daripada tipu helah yang dimainkan oleh pemimpin pembangkang yang kononya sentiasa mengutamakan perpaduan dikalangan semua kaum di Negara Malaysia.

Hampir setiap hari pelbagai jenis berita palsu sedang diwar-warkan di laman media sosial mutakhir ini, namun masih terdapat segelintir rakyat yang masih terpedaya dengan permainan politik kotor oleh pihak-pihak tertentu.

Tambahan lagi, apabila isu – isu sebegini dimainkan, dengan kencangnya rakyat akan mengambil suatu tindakan terburu-buru dalam mengkritik / melatah kerajaan sehingga mengaitkan berita tersebut dengan isu berbaur perkauman dan agama lalu menghadirkan suatu suasana yang agak kurang selesa serta membangkitkan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Era teknologi masa kini, ada juga segelintir individu yang sentiasa memberi komen agak melampau dalam media sosial, sekiranya tiada sebarang tindakan tegas diambil terhadap mereka, ini akan menyebabkan individu lain turut mengikuti perkara sama dan tindakan provokatif sebegini sememangnya amat berbahaya kepada keharmonian Negara kita.

Penyebaran kandungan palsu, penghinaan terhadap agama dan kaum lain serta tomahan yang dibuat oleh beberapa pihak menunjukkan betapa jahilnya mereka. Selaku rakyat Malaysia kita harus sentiasa memastikan sikap toleran dan rasional rakyat Malaysia terus terpelihara dengan menghayati Rukun Negara yang menjadi paksi utama kepada kestabilan dan perpaduan negara sejak sekian lama.

Segala jenis polemik yang berbaur pepecahan dan membinasakan Negara harus kita sanggah dengan serta merta dan memastikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia dipertahankan serta dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Malaysia yang ke-56 tahun, oleh itu saya menyeru rakyat-rakyat agar sentiasa bersatu padu menamatkan sebarang bentuk retorik yang merosakkan perpaduan negara dan bermuhasabah memikirkan usaha yang telah kita letakkan secara bersama serta cabaran yang harus kita harungi demi membina semula Negara yang kita cintai dengan lebih berjaya.

LIM HUI YING

Scroll to Top
Scroll to Top