KENYATAAN MEDIA DAPSY & WANITA BUKIT BENDERA (28hb April, 2021):
Rogol Bukan Gurauan! Cegah sebelum parah!
Gurauan kasar dan biadab adalah perbuatan yang tidak wajar ada dalam diri seorang manusia yang berakal lagi-lagi individu yang bergelar pendidik. Apa yang dituturkan dan dilakukan oleh seorang pendidik seharusnya memberikan contoh yang baik kepada anak didik. Jika busuk isi tuturnya, buruklah sikap anak didik dek terpengaruh dan menerima perbuatan serta pengucapan tidak beradab itu sesuatu yang normal. Jangan hairan dari mana datangnya budaya ‘rape joke’.
DAPSY dan DAP Wanita Bukit Bendera memuji keberanian adik Ain Husniza yang tampil membawa isu yang dialami dan disaksi oleh beliau sendiri. Kita dapat lihat adik Ain tidak gentar mempertahankan dan memperjuangkan agar sekolah menjadi institusi yang selamat kepada semua pelajar walaupun beliau mendapat kencaman daripada rakan-rakan sekolah dan netizen. Lebih mengecewakan, pelbagai komen kasar dan ugutan yang dihadapi adik Ain menunjukkan betapa seriusnya isu ini yang mana sebahagian besar mentaliti masyarakat kita sudah normalisasikan gurauan rogol.
Masih tidak terlambat untuk membendung dan melindungi generasi kita daripada unsur-unsur keganasan seksual dan keganasan domestik. Laporan media berkenaan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin yang enggan memberi komen mengenai guru lagak rogol ini amat mengecewakan.
Kita ingin menggesa Kementerian Pendidikan untuk menyatakan pegangan dan apa tindakan yang akan diambil agar institusi pendidikan menjadi tempat yang selamat kepada pelajar di tadika, tabika, sekolah, IPTA dan IPTS. Kita tidak mahu hidup generasi akan datang menjadi gelap akibat perbuatan segelintir pendidik yang harapkan pagar, pagar makan padi.
Pada masa yang sama juga, DAPSY & Wanita Bukit Bendera juga ingin mendesak agar pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) segera menggubal Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual serta menyegerakan penubuhan tribunal khas bagi menangani isu gangguan seksual dalam kalangan wanita.
Kami berharap Kerajaan terutamanya pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia dapat bergandung bahu bagi memastikan perkara ini ditangani secara adil dan bijaksana. Kerjasama erat daripada semua pihak amat diperlukan di saat yang getir sebegini.
Sekolah harus dijadikan tempat selamat! #MakeSchoolsASaferPlace