Rakyat sedar sikap Kerajaan PN utamakan kepentingan politik sendiri: ADUN Pulau Pinang DAP

Kenyataan Media “Backbenchers” Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang DAP pada 16 Disember 2020 (Rabu) di George Town, Pulau Pinang:

Susulan daripada pengumuman daripada Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) berhubung status terkini perkhidmatan feri Pulau Pinang yang bakal dihentikan mulai tahun 2021, ingin kami menyatakan kekecewaan kami terhadap tindakan tersebut, yang telah secara langsung melakarkan sejarah perkhidmatan pengangkutan feri yang ikonik ini.

Meskipun pelbagai permohonan telah dibuat oleh pelbagai pihak, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Tanjong, YAB Chow Kon Yeow pada sidang Dewan Rakyat yang menyeru Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan perkhidmatan feri yang ikonik ini.

Namun demikian, permohonan ini tidak langsung dipertimbangkan dimana alasan yang diberikan adalah kadar kepenggunaan perkhidmatan feri yang rendah dan laluan alternatif seperti jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang.

Akhirnya pada sidang media semalam, pihak PPSB dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang telah mengumumkan nasib perkhidmatan feri ikonik yang akan dihentikan dan digantikan dengan perkhidmatan kapal katamaran.

Biar sejarah merekodkan bahawa dibawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional, sejarah gemilang feri Pulau Pinang akan ditamatkan. Sebelum ini, rekod pun telah tercatat dimana dibawah pentadbiran Perikatan Nasional, perkhidmatan feri juga terpaksa tergendala pada Ogos, 2020 di mana ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Pulau Pinang.

Berdasarkan daripada rekod tindakan yang telah diambil di Negeri Pulau Pinang, termasuk pembatalan projek kereta kabel Bukit Bendera, penolakan jaminan kerajaan untuk projek LRT Pulau Pinang dan yang terkini penghentian perkhidmatan feri, Rakyat Pulau Pinang kini sedar sikap Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional yang mengutamakan kepentingan politik sendiri daripada kepentingan orang awam dan rakyat khasnya Rakyat Pulau Pinang.

“Backbenchers”
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Scroll to Top