Rakaman Sanusi mempersenda wanita tular beberapa hari, namun Menteri pemangku Kementerian Wanita senyap sunyi: Calon P048 Bukit Bendera Syerleena

Kenyataan media Calon P.048 Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid pada 14 November 2022 di Georgetown, Pulau Pinang:

Amboi Rina Harun, senyap sunyi tak nasihatkan MB Kedah?

Senyap sunyi Datuk Seri Rina Harun, menteri pemangku kementerian wanita yang sepatutnya mengangkat dan mempertahankan maruah wanita daripada dijadikan bahan mainan dan lawak jenaka ahli politik keloloh seperti Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor.

Rakaman Sanusi mempersenda wanita, kononnya tidak layak menjadi wakil rakyat di Sik; sudah tular beberapa hari. Beliau malah mempertahankan ucapannya itu, menyifatkannya sebagai sekadar lawak jenaka.

Entah lah apa yang lucu. Saya tidak ketawa. Sanusi malah lebih awal berkata dia bukannya mahu merendah-rendahkan perempuan, tetapi kemudian bertindak menghina martabat wanita, seolah-olah wanita baginya adalah makhluk lemah dan tidak mampu berfungsi sebagai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat. Dia takut tu sebenarnya, sebab itu dia cakap siap-siap.

Namun saya hairan. Tak salah saya, Sanusi mempunyai isteri dan anak-anak perempuan. Bagaimana mungkin beliau mempunyai sudut pandang begini? Adakah beliau tidak tahu menghargai pengorbanan isteri dan anak-anaknya? Apakah Sanusi lupa tentang pengorbanan seorang ibu yang membesarkannya? Adakah wanita-wanita dalam kehidupan Sanusi hanya dilihat sebagai bahan lawak jenaka? Hairan saya.

Lebih menghairankan, Rina Harun langsung tidak memberikan walau sepatah dua kata. Apa sebabnya? Adakah Rina selesa melihat kaum wanita dijadikan bahan jenaka seksis seorang ahli politik PAS? Adakah Rina merasakan ia lucu? Jika ya, Rina sepatutnya bersuara dan bersetuju. Ini akan memudahkan orang ramai untuk mengadili Rina Harun sebagai seorang yang tidak layak duduk di kementerian wanita dan seterusnya tidak layak dianggap sebagai pemimpin kaum wanita.

Kebetulan sebaik sahaja ucapan Sanusi tular, calon Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkongsi gambar meranduk air bah di media sosial setelah kawasannya dilanda banjir. Nurul Izzah jelas membuktikan bahawa wakil rakyat wanita sama hebatnya dengan yang lelaki apabila berdepan bencana alam yang menuntut kerja keras semua pihak.

Malah ada sahaja pemimpin lelaki yang lebih selesa menjadi pelancong sewaktu bencana, diusung bersama gerombolan pengawal, jurukamera, pegawai khas dan sebagainya, tanpa sekali pun kaki seluarnya dibasahi banjir.

Mungkin Sanusi boleh buat jenaka tentang kaum lelaki seperti ini. Atau mungkin Sanusi boleh duduk diam-diam sahaja, dan berhenti gigih berjenaka. Sebab tak kelakar langsung.

SYERLEENA ABDUL RASHID
CALON PARLIMEN BUKIT BENDERA
ADUN SERI DELIMA
PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI DAP PULAU PINANG
AHLI JAWATANKUASA KEBANGSAAN WANITA DAP

Scroll to Top
Scroll to Top