Pulau Pinang memang sudah jadi padang pasir menurut penjelasan MUDA: DAPSY Farid Maulud

MUDA PULAU PINANG HARUS SEMAK FAKTA SEBELUM MENABUR KEBENCIAN TERHADAP NEGERI PULAU PINANG

Parti MUDA harus lebih teliti jika bermain dengan angka dan fakta sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Saya merujuk kepada kenyataan MUDA Negeri Pulau Pinang pada 14 September 2021 dalam kenyataan mereka yang secara jelasnya telah memberikan gambaran yang buruk terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tuduhan bahawa 65% pokok di Pulau Pinang telah ditebang sejak 2013 hingga 2020 adalah fakta yang telah mereka selewengkan dari kenyataan sebenar oleh Global Forest Watch yang mana dalam kenyataan tersebut mereka merekodkan berkaitan penutupan kanopi pokok (Trees Cover). Namun begitu, dalam kenyataan Global Forest Watch yang mereka siarkan juga menimbulkan banyak keraguan berkenaan fakta-faktanya.

Global Forest Watch secara jelas menyatakan bahawa dalam kenyataan yang disiarkan mereka hanya mencatat berkenaan kehilangan penutupan kanopi pokok namun tidak memasukkan jumlah penutupan kanopi pokok yang telah bertambah sejak 2013 hingga 2020. Mereka juga tidak merekodkan berkenaan jumlah penanaman semula batang pokok yang semakin bertambah sejak 2008.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menanam semula lebih 380,524 pokok sejak 2008 hingga kini yang meliputi seluruh kawasan di Pulau Pinang. Ini adalah usaha yang kerajaan negeri sasarkan dalam Penang Green Agenda 2023 untuk menanam 500,000 pokok menjelang 2023. Inisiatif ini adalah susaha kerajaan untuk memastikan Pulau Pinang akan terus kekal sebagai zon hijau.

Bukan itu sahaja, dalam titah Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak dalam pembukaan sidang DUN Penggal Ke-14, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mewartakan 285.84 hektar dari Pulau Jerejak sebagai Hutan Simpan Kekal.

Bayangkan sekiranya 65% pokok telah ditebang di Pulau Pinang, bukankah Pulau Pinang kini sudah menjadi padang pasir jika itu yang MUDA Pulau Pinang cuba jelaskan dalam kenyataan mereka.

Sebagai sebuah parti yang kononnya membawa nafas baru anak muda dalam politik Malaysia, bukankah sepatutnya mereka lebih risaukan tentang 300,000 peluang pekerjaan anak muda Pulau Pinang yang bakal hilang sekiranya projek PSR tidak dilaksanakan.

Farid Maulud
Ketua DAPSY Bukit Bendera
Ahli Parlimen Belia Malaysia

Scroll to Top