Pulau Pinang dianak-tirikan lagi kerana fahaman politik : ADUN Daniel Gooi

Kenyataan Media YB Tuan Daniel Gooi, ADUN Pengkalan Kota pada 28 November 2020 (Sabtu) di George Town, Pulau Pinang:

Merujuk kepada jawapan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul kepada Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow di sidang Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan memberikan jaminan kerajaan yang bernilai RM2.04 billion kepada pembangunan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang, ini telah sekaligus mencerminkan sikap anak-tiri Kerajaan Persekutuan terhadap sebarang pembangunan di Negeri Pulau Pinang.

Umum mengetahui bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil usaha secara proaktif dengan memperkenalkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang dialami oleh Rakyat Pulau Pinang. Pelan induk tersebut bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyelesaian secara holistik kepada masalah yang dihadapi kini, malah ia turut bertindak sebagai pemangkin sektor ekonomi di Negeri Pulau Pinang untuk jangka masa panjang.

Namun demikian, keputusan yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk tidak mempertimbangkan dan meluluskan jaminan kerajaan terhadap projek tersebut amat mengecewakan, khususnya dengan pencapaian Negeri Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri yang mempunyai prestasi pelaburan yang terbaik di negara ini, malah merupakan salah sebuah negeri penyumbang cukai tertinggi di Malaysia.

Mengikut alasan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan, keputusan tersebut dibuat selaras dengan semakan unjuran hasil dan pendapatan negara semasa dan akan membebankan komitmen Kerajaan Persekutuan selaras dengan projek luar belanjawan yang telah dibuat seperti MRT1 dan 2, LRT3, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Ketika membentangkan Belanjawan Persekutuan 2021, Menteri Kewangan telah memberikan gambaran dan unjuran bahawa keadaan ekonomi negara bakal bertumbuh pada kadar 5.8 peratus pada tahun 2021. Unjuran ini merupakan asas kepada penyediaan belanjawan persekutuan yang dibentangkan tersebut dan sekiranya ini unjuran Kerajaan Persekutuan, bukankah kini masa yang tepat untuk melihat kepada projek pembangunan yang akan melonjakkan lagi kedudukan ekonomi negara, termasuk projek pembangunan di Negeri Pulau Pinang agar kesiapsiagaan dapat dicapai selepas wabak pandemik COVID-19?

Di atas asas tersebut, adakah Kerajaan Persekutuan mempunyai hasrat yang ikhlas untuk menyumbang kepada pembangunan di Negeri Pulau Pinang? Sejak penubuhan Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional pada Mac awal tahun ini, banyak rancangan pembangunan di Negeri Pulau Pinang telah dibatalkan dan tergendala seperti Projek Kereta Kabel Bukit Bendera dan kerja-kerja naik taraf Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang dengan pelbagai alasan yang diberikan. Ini telah sekaligus menghampakan Rakyat Pulau Pinang yang patut dilayan secara adil dari segi hasil pembangunan negara.

Dengan perkembangan terkini iaitu keputusan untuk tidak memberikan jaminan kerajaan terhadap projek Transit Aliran Ringan di Pulau Pinang, ia sekali lagi menunjukkan sikap Kerajaan Perikatan Nasional yang tidak bertanggungjawab dan menganak-tirikan rakyat Pulau Pinang di atas fahaman politik.

DANIEL GOOI

Scroll to Top
Scroll to Top