PROJEK TAMBAKAN SELATAN PULAU PINANG (PSR) TERUS MENJAMIN KESEJAHTERAAN HIDUP KOMUNITI NELAYAN
PAS melalui lidah rasminya terus memburukkan projek PSR dengan tohmahan yang salah dengan hanya mengambil pandangan daripada pihak yang kuat membantah projek PSR ini iaitu Zakaria Ismail. Dari kenyataan yang dikeluarkan, jelas penyelewengan cerita tersebut amat besar kerana dipengaruhi oleh emosi yang hanya mahu membantah semborono.
Membandingkan projek STP (1 dan 2) dan PSR adalah tidak wajar kerana kedua-dua projek ini adalah dalam pentadbiran kerajaan yang berbeza. Untuk pengetahuan semua, projek STP ini telah lama diluluskan sebagai projek swasta sejak tahun 1997 lagi oleh kerajaan ketika itu berbanding dengan PSR yang merupakan projek kerajaan negeri semasa.
Untuk makluman semua, sebenarnya kerja-kerja pelaksanaan PSR masih belum berjalan kerana pihak kerajaan negeri masih menunggu kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dari Jabatan Alam Sekitar.
Sekiranya mereka mahu menyoal mengenai projek STP yang dikatakan tidak memberi peluang pekerjaan kepada nelayan setempat, sepatutnya mereka tanyakan kepada rakan komponen baharu mereka dalam Perikatan Nasional yang juga kerajaan negeri pada ketika itu.
Namun jika mereka ingin mengetahui tentang Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang dicadangkan kepada kumpulan nelayan dalam projek PSR, di sini kita boleh senaraikan. Diharap dengan penerangan ini mereka dapat telaah dan berlapang dada dengan sebaiknya tanpa memutarbelitkan fakta lagi.
Untuk rekod, SIMP dalam projek PSR Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menawarkan pemberian wang saguhati kepada nelayan yang berdekatan malah wang pendahuluan sebenarnya telah pun diberikan kepada mereka. Bukan sahaja itu, para tekong juga akan diberikan bot dan enjin baru sebagai galakkan kepada mereka untuk terus menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
Kerajaan Negeri juga terus komited untuk memastikan aktiviti penangkapan ikan tidak terhenti dengan menyediakan empat kemudahan jeti di Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul. Pembinaan jeti ini sebenarnya memberi impak yang sangat baik kepada para nelayan untuk keluar menangkap ikan walaupun ketika air laut surut.
Bukan sahaja itu, program pemerkasaan nelayan juga disediakan seperti peluang perniagaan dan pekerjaan, memberikan latihan kemahiran seperti latihan akuakultur. Anak-anak nelayan juga tidak terkecuali, kerajaan negeri juga akan memberikan peluang pendidikan untuk nelayan muda serta anak-anak mereka, bantuan tuisyen percuma untuk anak-anak nelayan yang masih di bangku sekolah serta biasiswa pendidikan bagi anak nelayan yang layak.
Kerajaan Negeri tidak pernah terfikir untuk menghalau mereka dari tempat asal. Justeru Kerajaan Negeri juga mempertimbangkan skim perumahan bagi nelayan untuk memiliki rumah kos rendah dan sederhana rendah.
Untuk makluman, walaupun projek PSR masih belum lagi bermula, namun projek ini telah mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan (termasuk nelayan) dan ada dalam kalangan mereka telah pun mula berkhidmat dalam pelbagai bidang antaranya sebagai pengurus kewangan, jurutera, pegawai pusat perkhidmatan nelayan dan lain-lain jawatan.
Seharusnya Zakaria dan pihak PenangTolakTambak memahami projek PSR ini dengan fasih sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan fitnah untuk memburukkan Kerajaan Negeri dan Pakatan Harapan secara amnya.
Manakala lidah rasmi PAS pula terus melaporkan fitnah-fitnah tanpa tabayyun yang sebaiknya jelas mencerminkan bahawa PAS hanya menggunakan isu PSR ini untuk kepentingan politik peribadi.
Farid Maulud
Ketua DAPSY Bahagian Bukit Bendera
Ahli Parlimen Belia Malaysia