Projek LRT Bayan Lepas dapat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Pengangkutan

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA YB MENTERI PENGANGKUTAN

Kelulusan Bersyarat Skim Kereta Api Projek LRT Bayan Lepas Pulau Pinang di bawah Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)

1. Setelah pertimbangan yang teliti dan menyeluruh, permohonan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Kerajaan Pulau Pinang kepada Kementerian Pengangkutan untuk membangunkan skim kereta api Projek LRT Bayan Lepas telah diluluskan pada 16 Julai 2019 tertakluk kepada syarat-syarat tertentu mengikut peruntukan di bawah Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

2. Untuk makluman, Seksyen 84 (2) Akta 715 menyatakan bahawa selepas Menteri memberi kelulusan bersyarat kepada sesuatu skim kereta api, pemohon perlu mendepositkan di pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk pemeriksaan awam segala apa dokumen yang ditetapkan untuk membolehkan orang ramai memeriksa dan memberi bantahan terhadap cadangan pembinaan kereta api kepada APAD sepanjang tempoh pemeriksaan selama tiga (3) bulan bermula dari tarikh akhir siaran notis melalui iklan akhbar tempatan dikeluarkan di bawah peruntukan Seksyen 84 (4).

3. Dokumen-dokumen yang lengkap berkenaan projek tersebut akan dipamerkan di tempat awam termasuk pejabat-pejabat kerajaan yang akan diumumkan dalam tempoh masa yang terdekat melalui siaran iklan akhbar.

4. Untuk memenuhi kehendak semasa dan menambahbaik tahap ketelusan urus tadbir kerajaan, pihak pemohon juga akan diminta memuatnaik semua dokumen berkenaan melalui laman web kepada semua.

5. Selepas selesai penilaian terhadap maklum balas yang diterima semasa sesi pameran pemeriksaan awam, satu lagi permohonan kelulusan muktamad skim kereta api hendaklah dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan untuk kelulusan mengikut keperluan Seksyen 84 (5) Akta 715.

6. Sebagai latar belakang, projek LRT Bayan Lepas adalah projek rel yang menjadi tunjang kepada pengangkutan awam berasaskan rel di Pulau Pinang seperti yang dirancang di bawah Penang Transport Master Plan (PTMP).

7. Panjang keseluruhan jajaran adalah 29.9km dan terdapat 27 buah stesen yang dicadangkan di sepanjang jajaran tersebut. Jajaran LRT bermula dari KOMTAR dan akan melalui kawasan-kawasan bandar seperti Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum berakhir di cadangan tanah tebus guna Penang South Reclamation (PSR).

8. Pembinaan projek ini akan terbahagi kepada dua (2) fasa seperti berikut:

9. Dalam meluluskan permohonan ini, Kerajaan melalui APAD telah mengenakan tiga puluh (30) syarat yang khusus termasuk kelulusan DEIA untuk projek LRT Bayan Lepas, kelulusan DEIA untuk Penang South Reclamation, kajian Social Impact Assessment, kajian Heritage Impact Assessment, kajian Traffic Impact Assessment serta syarat-syarat lain yang mengambil kira faktor teknikal, faktor sosial dan faktor kawal selia yang berkesan secara menyeluruh.

10. Saya mengalu-alukan penglibatan orang awam dan maklum balas dari badan-badan bukan kerajaan serta semua pihak berkepentingan (stakeholders) dalam proses pemeriksaan awam dan penilaian projek ini berasaskan peruntukkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat dan juga selaras dengan prinsip pentadbiran demokrasi dan terbuka di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

11. Saya yakin pembangunan infrastruktur pengangkutan awam haruslah mengutamakan permintaan jangka panjang dengan sasaran memacu jalinan pengangkutan awam yang lengkap dan inklusif demi menjamin kesejahteraan rakyat setempat dan kemakmuran negara.

LOKE SIEW FOOK
Menteri Pengangkutan
17 Julai 2019

Scroll to Top
Scroll to Top