Politik PAS zaman purba yang tidak laku di era sains & teknologi: Calon P048 Bukit Bendera Syerleena

Kenyataan media Calon P.048 Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid pada hari Sabtu 12 November 2022 di Georgetown, Pulau Pinang:

Haji Hadi bimbang? Bagus lah!

Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang; telah dilaporkan bimbang, resah dan gelisah dengan demikian ramai calon-calon Melayu dihantar oleh DAP dalam PRU ke-15 kali ini.

Beliau dilaporkan risau bahawa calon-calon Melayu ini akan dipergunakan oleh DAP untuk memenangi hati para pengundi Melayu-Islam.

Saya tumpang simpati dengan kesukaran Haji Hadi untuk menanggapi dan memahami konsep politik hari ini yang telah dan sedang meninggalkan politik perkauman seperti yang cuba dikekalkan oleh beliau.

Apatah lagi selepas pernah menjadi rakan kongsi parti DAP ketika menjulang tangan Lim Kit Siang sewaktu menganggotai Pakatan Rakyat satu masa lalu. Haji Hadi mungkin sudah terlupa bagaimana partinya menyatakan kesediaan untuk menandatangani watikah calon-calon DAP pada PRU 2013. Haji Hadi juga sudah terlupa bagaimana beliau begitu bersemangat berkempen untuk memenangkan DAP dalam pilihan raya kecil Teluk Intan.

Semua itu dilakukan oleh beliau dengan kesedaran jelas bahawa DAP sebenarnya bukan seperti yang beliau cuba momokkan sekarang, ketika PAS begitu bersungguh-sungguh menjadi wadah politik perkauman dan keagamaan, demi dipinjamkan sedikit kuasa. Itu pun bila sudah menang, Haji Hadi mengabaikan tanggungjawabnya untuk hadir ke Parlimen.

Jadi begini lah ya. Keresahan Haji Hadi memang sesuatu yang amat kita mahukan. Kita mahu Haji Hadi menggelabah melihat demikian ramai orang Melayu menyedari betapa berbelitnya politik perkauman yang cuba dijaja oleh PAS. Di saat ia duduk bersama Gerakan dan MCA, Haji Hadi masih ligat cuba mengabui mata penyokong dan para pengundi, dengan menjaja politik perkauman murahan yang tidak masuk akal.

Kita memang mahu orang Melayu sedar bahawa politik PAS adalah politik zaman purba yang sudah tidak lagi laku di era sains dan teknologi di mana maklumat boleh dicari di hujung jari, dan fitnah boleh dipatahkan dengan mengetik kekunci. Orang Melayu sudah muak dijadikan tawanan politik agama dan perkauman oleh PAS serta rakan-rakan mereka. Orang Melayu sudah sedar bahawa kepimpinan Haji Hadi adalah kepimpinan yang bermasalah dan telah dibajak oleh Umno, lalu ditinggalkan terkontang kanting dan dimusuhi pula bersungguh di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Orang Melayu perlu sedar bahawa ada pilihan lain selain membiarkan nasib mereka ditentukan oleh sekumpulan manusia yang mengheret nama Tuhan dalam permainan politik mereka demi mendapatkan kuasa, kedudukan dan seterusnya memperkayakan tembolok masing-masing.

Orang Melayu sudah tahu bahawa PAS di bawah kepimpinan Hadi Awang adalah PAS yang tidak mesra masyarakat majmuk, menimbulkan pecah belah, menyemai kebencian, menyemarak api perkauman dan meredhai korupsi serta rasuah oleh para kleptokrat dalam Umno.

Sekiranya Haji Hadi sudah lupa, mari saya ingatkan satu lagi perkara. PAS di bawah kepimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz adalah seribu kali lebih berguna berbanding kepimpinan yang memalukan di bawah telunjuk mengarut Haji Hadi, dan orang di sekelilingnya hanya menanti masa untuk beliau bersara. Kegagalan Haji Hadi mengangkat PAS sebagai sebuah parti bermaruah yang tidak perlu bergantung kepada pengaruh Umno serta mendapat kuasa melalui lunas undang-undang akan menjadi legasi paling memalukan buat parti ini yang dahulunya begitu disegani.

Inilah yang sudah disedari oleh ramai orang Melayu. Dan inilah kenapa orang Melayu di Pulau Pinang dan bandar-bandar utama di negara ini menolak PAS. Berhentilah menunggang politik perkauman dan menyalahgunakan agama. Berhentilah membawa aib dan fitnah kepada agama Islam.

SYERLEENA ABDUL RASHID
CALON PARLIMEN P.048 BUKIT BENDERA
ADUN SERI DELIMA
PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI DAP PULAU PINANG
AHLI JAWATANKUASA KEBANGSAAN WANITA DAP

Scroll to Top
Scroll to Top