KENYATAAN MEDIA YB CHONG ENG, EXCO KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG DAN ADUN PADANG LALANG MERANGKAP KETUA WANITA DAP KEBANGSAAN
(28hb September 2021)
PINDA PERLEMBAGAAN BAGI MENJAMIN HAK WANITA UNTUK MENDAPATKAN STATUS KEWARGANEGARAAN WARIS
Malaysia adalah salah satu daripada 25 negara di dunia yang tidak memberikan hak sama rata kepada kaum wanita dalam isu kewarganegaraan anak, berbanding 150 negara lain yang berbuat demikian.
Menurut laporan dari Global Campaign for National Equality Rights menyatakan 25 negara tersebut adalah Bahamas, Bahrain, Barbados, Brunei, Burundi, Eswatini, Iran, Iraq, Jordan, Kiribati, Kuwait, Lebanon, Liberia, Libya, Malaysia, Mauritania, Nepal, Oman, Qatar, Saudi Arabia, Somalia, Sudan, Syria, Togo dan UAE.
Kerajaan harus mengambil pendekatan bagi memastikan kita tidak akan tergolong di dalam senarai ini bagi memastikan golongan wanita Malaysia juga mempunyai hak yang sama dengan lelaki berhubung isu pemberian status kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.
Sekiranya Kerajaan masih memilih untuk tidak mengiktiraf hak wanita dan mengamalkan diskrimanisi gender sebegini maka tindakan itu akan menjadi halangan terbesar ke arah keadilan dan kesaksamaan untuk wanita seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Oleh itu, saya menggesa kerajaan yang sentiasa melaungkan semangat “Keluarga Malaysia” untuk segera meminda peruntukan yang bersifat diskrimasi dalam undang-undang kewarganegaraan bagi memastikan setiap warga – tanpa mengira jantina – mempunyai hak sama rata untuk mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak dan pasangan.
Saya juga yakin, pindaan perlembagaan ini akan memudahkan ibu-ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk melahirkan anak di luar negara.