Tue. Apr 16th, 2024

Kenyataan media Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena binti Abdul Rashid di Kuala Lumpur pada 28 Februari 2024:

Perpaduan Nasional, Tonggak Kestabilan, Keamanan dan Kemakmuran Ekonomi

Persoalan perpaduan nasional, sebagai asas penting membina negara, terutamanya di persimpangan krisis kemelesetan ekonomi global sedang diancam oleh anasir-anasir yang cuba menggugat dan mempergunakan sentimen salah faham segelintir masyarakat untuk membina asas sokongan politik mereka.

Ini adalah suatu perkara yang sangat berbahaya, dan berpotensi menjadi bom jangka (time bomb) dalam fabrik masyarakat majmuk yang sedang ditekan tahap toleransinya akibat daripada penyalahgunaan media komunikasi, internet, tiktok dan sebagainya.

Dalam ucapan perbahasan saya, aspek perpaduan nasional diberikan keutamaan nombor wahid, sebagai permasalahan tunjang yang perlu diberi perhatian rapi oleh pihak kerajaan.

Kerajaan tidak boleh terlalu selesa dan bersikap baik hati terhadap serangan-serangan politik yang menumpukan kepada usaha memecahbelahkan masyarakat, bukan sahaja di peringkat masyarakat dewasa yang celik politik, malah mempengaruhi anak-anak muda di media sosial, yang kemudiannya membenihkan rasa benci dan membinasakan persefahaman antara mereka di peringkat sekolah lagi.

Oleh yang demikian saya telah mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memastikan sistem pendidikan negara digunakan sepenuhnya sebagai alat untuk menyanggah sebarang usaha memupuk ekstremisme dan rasa benci terhadap ‘yang lain’ di peringkat awal lagi.

Sekolah-sekolah perlu memainkan peranan untuk menyemai kefahaman jamak budaya dalam kalangan anak-anak kita, sebelum ada pihak lain yang bertindak memajukan agenda mereka sehingga anak-anak kita menjadi mangsa. Malah sebenarnya perlu ada usaha untuk mendedahkan anak-anak kita terhadap realiti kepelbagaian yang wujud di tanah air, termasuk program pertukaran pelajar berbeza budaya, dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung serta sebaliknya; agar mereka menyedari dan memahami realiti masyarakat majmuk negara ini.

Media juga perlu dipastikan memainkan peranan membingkai naratif yang betul dan tepat.

Kerajaan wajar mewujudkan garis panduan tentang perwakilan masyarakat plural di negara ini agar dipertontonkan dengan betul; termasuk perbezaan etnik, budaya dan kepercayaan.

Kerajaan perlu mendorong syarikat media agar mengelakkan tindakan mensensasikan berita yang meneruskan stereotaip perkauman yang terus memecahbelahkan masyarakat. Sebaliknya, tonjolkan laporan berita yang berimbang dan adil, bagi menyemai persefahaman dan sifat empati sesama rakyat Malaysia.

SYERLEENA ABDUL RASHID
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA