Kenyataan ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze pada 17 September 2025
- Saya ingin memaklumkan bahawa satu mesyuarat penyelarasan berkaitan isu penjaja di Pasar Awam Apollo, Jalan Raja Uda, Butterworth telah diadakan bersama tujuh (7) peniaga, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (PDTSPU) di Menara Bandaraya, Bandar Perda, Pagi tadi.
2. Mesyuarat penyelarasan ini antaranya membincangkan isu tindakan penguatkuasaan yang telah dikenakan kepada beberapa penjaja di kawasan berkenaan pada sebelum ini yang tidak memindahkan barang-barang perniagaan selepas aktiviti penjajaan dan kesalahan binaan tanpa kebenaran.
3. Saya sentiasa komited untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar semua penjaja yang terlibat dapat terus berniaga dalam keadaan lebih teratur, sah dari segi peraturan serta tidak menjejaskan keselamatan serta kepentingan masyarakat setempat.
4. Beberapa cadangan juga telah dikemukakan kepada penjaja terlibat. Hasil perbincangan itu, seramai empat (4) penjaja bersetuju untuk berpindah masuk ke ruang niaga berbumbung sedia ada kerana kebetulan terdapat empat (4) kekosongan dan semua ruang tersebut telah diisi segera oleh empat (4) peniaga berkenaan.
5. Manakala dua (2) penjaja memilih untuk membawa pulang setiap barang penjajaan selepas aktiviti penjajaan diadakan dan satu (1) lagi penjaja memilih untuk kekal berniaga di tempat asal dan perlu memohon permit sementara melalui MBSP yang perlu diperbaharui pada setiap bulan. Setiap penjaja telah diberikan kefahaman sebaiknya dan mereka telah memahami setiap syarat dan keputusan yang dibuat.
6. Permit sementara ini membolehkan mereka memasang kanopi dan meninggalkan barang-barang perniagaan di tapak dengan syarat perlu mendapatkan kebenaran daripada MBSP melalui permohonan permit sementara. Kebenaran yang diberikan hanyalah bersifat sementara.
7. Bagi maksud itu, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (PDTSPU) turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan permohonan kebenaran sementara kepada pihak MBSP untuk menggunakan sebahagian kawasan tersebut bagi tujuan aktiviti penjajaan sementara supaya ia dapat berlangsung dengan lebih teratur.
8. Penyelesaian langkah panjang pula, pejabat saya telah mengemukakan surat permohonan kepada pihak MBSP untuk pertimbangan pihak PDTSPU bagi permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) supaya aktiviti penjajaan boleh dilaksanakan di kawasan berkenaan.
9. Dengan keputusan ini, saya percaya semua pihak akan mendapat manfaat masingmasing. Para penjaja boleh berniaga secara sah, selesa, selamat dan terkawal melalui permohonan permit sementara oleh MBSP.
10. Selain itu, Pasar Awam Apollo juga dapat beroperasi dalam keadaan lebih tersusun, bersih dan teratur untuk kepentingan peniaga serta masyarakat setempat.
11. Saya percaya penyelesaian ini menunjukkan komitmen semua pihak untuk mencari jalan tengah yang adil dan praktikal. Ia juga membuktikan bahawa melalui perbincangan dan kerjasama, setiap isu boleh diselesaikan dengan baik tanpa perlu menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.
12. Di kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MBSP, PDTSPU dan semua penjaja yang telah memberi kerjasama baik sepanjang proses perbincangan ini berlangsung.
13. Semoga keputusan ini menjadi titik tolak kepada pengurusan pasar yang lebih sistematik pada masa hadapan serta menjadi contoh penyelesaian berhemah bagi isuisu seumpamanya.
Sekian, terima kasih.