Ingin saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CAC Academy of Chefs, yang diketuai oleh Chef Bruce Lee yang telah menyumbangkan RM2,150.00 terhadap Tabung Harapan Malaysia.
Atas inisiatif CAC Academy of Chefs, mereka telah menyediakan sebanyak 200 biskut muhibah (Muhibah Cookies) untuk tujuan kutipan derma bagi Tabung Harapan Malaysia. Biskut tersebut adalah disediakan oleh pelajar-pelajar CAC Academy of Chefs, yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, iaitu agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan bagi menggalak dan menyelaras strategi dan program latihan kemahiran sejajar dengan usaha untuk memperkasakan bidang kemahiran.
Biskut tersebut telah menerima sambutan hangat dikalangan masyarakat tempatan di sekitar kawasan Macallum dan mereka berjaya untuk menjual kesemua 200 biskut dalam masa dua hari.
Jumlah kutipan dari jualan amal tersebut telah menjana RM2,150.00 dan keseluruhan amaun tersebut telah disalurkan ke Tabung Harapan Malaysia pada hari ini.
Sejak Tabung Harapan Malaysia dilancarkan pada 30 Mei 2018, tabung tersebut telah menerima sokongan padu dari semua golongan masyarakat Malaysia dan telah berjaya mengumpul sebanyak RM127,363,516.37 setakat jam 3.00 petang, 27 Jun 2018.
Jumlah kutipan tersebut adalah jauh berbeza berbanding dengan jumlah nilai barangan yang berjaya disita daripada Dato’ Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia yang bernilai RM1.1 billion sepertimana yang diumumkan oleh Datuk Seri Amar Singh, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman semalam.
Adalah diharapkan bahawa tindakan segera dapat diambil oleh Pihak Berkuasa yang berkenaan terhadap Dato’ Seri Najib Razak, termasuk siasatan dan tindakan perundangan selanjutnya, agar kebenaran tentang asal usul harta tersebut, kononnya merupakan ‘hadiah’ mengikut kenyataan Dato’ Seri Najib Razak ini dapat dimaklumkan kepada masyarakat umum dan sekaligus memberikan jawapan terhadap skandal terbesar ini di dalam sejarah negara.
Kenyataan Media YB Tuan Daniel Gooi, ADUN Pengkalan Kota pada 28 Jun 2018 (Khamis) di George Town, Pulau Pinang