Penggunaan “tauliah” sebagai cengkaman kuku besi harus dihentikan

Kenyataan Akhbar – Kuala Lumpur, 21 November 2017

Pada 25 September 2017, Mustafa Akyol, seorang karyawan Turki, telah ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus sebelum beliau dijadualkan terbang ke Amerika Syarikat dan kemudiannya ditahan polis sehingga keesokan hari. Pada masa yang sama, bukunya yang berjudul Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty serta terjemahannya dalam bahasa Melayu telah diharamkam oleh Kementerian Dalam Negeri di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

 

Peristiwa ini amat memalukan apabila menular di media antarabangsa, lantas menjadikan negara kita sebagai bahan jenaka di serata dunia. Masakan tidak, apabila Mustafa terkenal kerana tulisannya yang secara lazim memperjuangkan pemikiran Islam yang sederhana dan toleran. Dengan tindakan yang ironis serta melampau ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) secara langsung telah membakul sampahkan agenda wasatiyyah yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri.

 

Menurut jawapan lisan yang saya terima di Parlimen, Mustafa telah ditangkap atas kesalahan “mengajar tanpa tauliah” di bawah seksyen 11(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang berbunyi:

 

(1) Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

 

Isu tauliah ini sangat bermasalah dan mudah disalahgunakan sebagai alat cengkaman ke atas hak kebebasan Muslim apabila hanya mereka yang diberi lesen oleh pihak berkuasa berhak untuk berbicara mengenai agama Islam. Pendekatan ini juga seolah-olah menganggap semua Muslim sebagai orang bodoh yang senang keliru.

 

Peruntukan dalam undang-undang, yakni “mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam”, adalah terlalu luas dan tidak ditakrifkan secara jelas. Apakah yang dimaksudkan dengan mengajar? Apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam pula boleh merangkumi apa sahaja termasuk pensyarah yang mengajar modul kajian Islam di universiti atau bapa yang mengajar rukun Islam kepada anak di rumah. Adakah mereka semua perlu memohon untuk tauliah juga?

 

Mustafa ditangkap ekoran syarahannya di beberapa forum dan seminar yang berbentuk akademik walaupun sebelum ini tidak pernah ada masalah apabila beliau atau tokoh sarjana lain memberi kuliah awam mengenai topik-topik berkait dengan agama Islam. Namun jika dahulu memberi tazkirah di masjid dianggap mengajar agama, sekarang nampaknya perbincangan akademik turut tidak terlepas. Ini merupakan satu trend yang amat bahaya dan bertujuan untuk mengongkong pemikiran Muslim semata-mata, di samping mencabul hak kebebasan bersuara, kebebasan akademik dan kebebasan asasi lain yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

 

Penggunaan tauliah sebagai alat kuku besi harus dihentikan dan peruntukan undang-undangnya perlu dikaji semula kerana tidak jelas dan terlalu mudah disalahgunakan.

 

Zairil Khir Johari

Ahli Parlimen Bukit Bendera

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi

Scroll to Top
Scroll to Top