Penang Free Wifi ditamatkan bagi tujuan pembangunan WiFi lebih baik: DAPSY Farid Maulud

PENANG FREE WIFI MASIH DALAM RANCANGAN PEMBANGUNAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

Umum mengetahui bahawa Penang Free Wifi (PFW) yang dimulakan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sejak tahun 2009 merupakan inisiatif ke arah pembangunan bandar pintar. Sejak itu, rakyat negeri ini telah menikmati WiFi percuma lebih 750 jaringan di seluruh negeri Pulau Pinang sebelum perkhidmatan tersebut ditamatkan pada 2019 bagi tujuan pembangunan WiFi yang lebih baik.

Merujuk kepada artikel Ketua Pemuda MCA Bukit Mertajam Tan Yang Pang (Kwong Wah Yit Poh & Penang Sin Poe, 6.4.2021), Sdr Zairil Khir Johari telah berbanyak kali menjelaskan di dalam Dewan Undangan Negeri bahawa perkhidmatan Penang Free Wifi (PFW) telah ditamatkan Kerajaan Negeri pada 13 Februari 2019. Keputusan tersebut dibuat ekoran beberapa isu seperti tahap bandwith dan liputan yang disediakan oleh REDtone International Berhad (REDtone) adalah tidak memuaskan.

Sejurus penamatan perkhidmatan PFW, Kerajaan Negeri melalui PDC Telecommunication Services Sdn. Bhd. telah mengiklankan tender proposal cadangan (RFP) secara terbuka sebanyak dua (2) kali. Malangnya, proposal cadangan oleh pembida-pembida gagal menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

Penamatan perkhidmatan PFW tidak bermaksud Kerajaan Negeri melepaskan batuk di tangga dalam memastikan rakyat Pulau Pinang menikmati perkhidmatan WiFi secara percuma di tempat-tempat awam. Sdr Zairil juga telah menjelaskan bahawa komponen WiFi percuma akan dimasukkan ke dalam projek-projek Kerajaan Negeri seperti Projek Smart Bus Stop, Projek Smart Street Pole dan lain-lain.

Meskipun projek-projek yang dinyatakan di atas masih belum dilaksanakan sepenuhnya, Kerajaan Negeri amat komited dalam menambah baik jaringan liputan Internet di seluruh Negeri Pulau Pinang. Misalnya beberapa projek telah pun dilaksanakan seperti; menaik taraf kabel tembaga milik Syarikat Telekom Malaysia Berhad kepada gentian fiber optik, mewajibkan semua projek perumahan baharu dilengkapi dengan infrastruktur gentian optik dan ketersediaan servis / perkhidmatan, kaedah fiberisasi baharu (Clip On Solution) dan lain-lain.

Maka jelas, kenyataan Sdr Tan Yang Pang yang menyatakan bahawa ‘Kerajaan Negeri hanya pandai cakap dan tidak membuat apa-apa’ adalah sangkaan yang berniat jahat. Di sini saya ingin menasihati Sdr Tan Yang Pang, sebagai Ketua Pemuda MCA, agar tidak mengeluarkan kenyataan tanpa menyemak fakta yang sedia ada. Kredibiliti Saudara dan MCA akan disoal.

Saya juga ingin sarankan kepada saudara supaya meluangkan masa bersama pimpinan MCA untuk mengkaji semula keputusan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong yang telah menarik balik pengecualian dasar kabotaj yang mana keputusan ini telah dikritik secara meluas oleh pelbagai pihak termasuk My Internet Exchange (MyIX). Keputusan tidak bertanggungjawab ini juga telah mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian besar di mana syarikat Facebook memutuskan untuk tidak melaksanakan projek kabel dasar laut di Malaysia.

Farid Maulud
Ketua DAPSY
Bahagian Bukit Bendera

Scroll to Top
Scroll to Top