Penang 2030 dan agihan yang lebih saksama kepada negeri

Saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menjadi anggota Dewan yang mulia ini. Justeru, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kerana memberikan kepercayaan ini kepada saya. Amanah ini akan saya junjung dengan sepenuh usaha saya, terutamanya untuk membawa suara rakyat Pulau Pinang dan Malaysia ke Dewan yang mulia ini. 

Penang 2030 dan agihan yang lebih saksama kepada negeri

  1. Pada 29 Ogos 2018, Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Saudara Chow Kon Yeow telah melancarkan pelan pembangunan masa depan Pulau Pinang yang diberi nama, Penang 2030.

 

  1. Visi masa depan ini memberikan fokus kepada nilai-nilai kekeluargaan, kelestarian dan kepintaran. 
  1. Antara perkara yang menarik perhatian adalah cadangan untuk satu indeks kebahagiaan, yang akan digunakan sebagai kayu pengukur untuk rakyat memberikan maklumbalas dan menyatakan kepuasan tentang dasar-dasar yang dilaksanakan.
  1. Saya berpendapat, kerajaan persekutuan wajar mengambil iktibar daripada tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang tersebut. Zaman di mana kerajaan dianggap maha mengetahui sudah berlalu. Kerajaan Malaysia Baru tidak hanya perlu mengeluarkan dan melaksanakan dasar-dasar yang baik, malah perlu memastikan adanya proses maklum balas atau dengan izin, feedback process, agar suara pihak-pihak berkepentingan diberi pertimbangan sewajarnya. Suara rakyat suara keramat.
  1. Jika suara rakyat adalah suara keramat, maka mana-mana pembangunan tidak patut meminggirkan komuniti di luar bandar-bandar besar. Tidak kira di peringkat negeri ataupun di peringkat persekutuan, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil kepada semua rakyat Malaysia. Justeru, Penang 2030 menggariskan rancangan yang memberi keutamaan kepada kawasan Seberang Perai lebih-lebih lagi dalam aspek pembinaan rumah mampu milik, instrastruktur pengangkutan dan prasarana rekreasi. 
  1. Dalam hal ini, saya ingin mengetengahkan agar pembangunan negara secara keseluruhannya perlu mengambilkira kesaksamaan kepada kesemua wilayah dan negeri di Malaysia. Saya ingin mengambil contoh KDNK per kapita (GDP per capita) mengikut negeri: KDNK per kapita negara kita ialah RM38,887 pada tahun 2016. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mempunyai gabungan KDNK per kapita sebanyak RM101,420 manakala negeri yang mempunyai KDNK per kapita yang paling tinggi iaitu Pulau Pinang dan Selangor mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM47,322 dan RM44,616 masing-masing. Bandingkan keadaan ini dengan negeri-negeri dengan KDNK per kapita paling rendah seperti Sabah dengan KDNK per kapita RM21,081, Kedah RM19,152, dan Kelantan RM12,812. Mengikut statistik 2016, sembilan buah negeri mempunyai KDNK per kapita di bawah KDNK per kapita kebangsaan. 
  1. Apa maksud angka-angka ini? Jelas, statistik tersebut menunjukkan ketidak-seimbangan pembangunan di setiap negeri di Malaysia. Walaupun KDNK per kapita Pulau Pinang mencatatkan rekod paling tinggi pada tahun 2016, namun angka tersebut masih kurang daripada separuh KDNK per kapita di Kuala Lumpur. 
  1. Justeru, saya memohon agar kerajaan persekutuan yang baru ini beranjak daripada kaedah lama yang telah sekian lama meminggirkan kepentingan 13 buah negeri dalam Persekutuan kita. Konsep persekutuan ataupun federalism bermaksud pengagihan kuasa dan sumber secara saksama di antara pusat dan negeri-negeri bersekutu dan bukannya pemusatan kuasa oleh kerajaan persekutuan. 
  1. Bagi menjurus ke arah ini, saya mencadangkan agar satu Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen ditubuhkan untuk mengkaji semula formula agihan sumber yang baru di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan 13 buah negeri. Formula ini perlu mengambil kira sumbangan daripada sesebuah negeri tersebut, keperluan negeri dan akhirnya kepentingan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan.

Pelan Induk Pengangkutan Awam (PIPP)

  1. Seperti yang kita boleh lihat, contohnya dari segi KDNK per kapita tadi, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang paling dinamik dalam negara ini. Berkat usaha kerajaan negeri, Pulau Pinang yang satu ketika dahulu pernah dipanggil “Darul Sampah” kini telah menebus kembali gelaran dan seterusnya maruah sebagai Pulau Mutiara Timur, dengan izin, Pearl of the Orient. Dalam jangka masa 10 tahun sejak 2008, kerajaan negeri Pakatan Harapan berjaya meletakkan kembali nama negeri dan negara di persada dunia sebagai bandaraya yang paling sesuai didiami, the most liveable city, di negara dan rantau ini, sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta sebagai lokasi pilihan bagi pedagang dan pelabur antarabangsa. 
  1. Kejayaan ini hanya boleh dikecapi dengan kerjasama antara kerajaan negeri yang mengamalkan disiplin konsep Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dan rakyat Pulau Pinang yang mempunyai semangat waja. 
  1. Namun, kejayaan yang baru lambat laun akan menonjolkan kelemahan sistem lama. Justeru, kerajaan negeri insaf bahawa jika Pulau Pinang ingin mengekalkan momentum pembangunan bagi dekad-dekad yang akan datang, infrastruktur pengangkutan perlu dipertingkatkan. Statistik pada tahun lepas menunjukkan bahawa pemilikan kereta di Pulau Pinang adalah 1.5 per kapita. Dalam kata lain, jumlah kenderaan adalah 50% lebih banyak daripada jumlah penduduk. Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Pulau Pinang merupakan negeri ke-4 yang mempunyai jumlah kereta yang paling tinggi. Salah satu faktor utama yang menyebabkan pemilikan kereta peribadi yang begitu tinggi adalah kekurangan pengangkutan awam yang berkualiti.
  1. Justeru, pada tahun 2015, kerajaan negeri Pulau Pinang telah melancarkan satu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang atau PIPP. Objektif PIPP adalah untuk memenuhi keperluan dari segi insfrastruktur pengangkutan awam untuk tempoh 50 tahun yang akan datang. Strategi pengangkutan awam ini dijangka akan menjadi game changer bagi negeri dan rakyat Pulau Pinang dengan konsep moving people not cars. 
  1. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, PIPP akan mempunyai kompenen-komponen utama berikut yang akan merangkumi seluruh negeri Pulau Pinang, iaitu, i) satu jaringan Light Rail Transit (LRT), ii)  satu laluan penghubung ketiga antara Pulau Pinang dan Seberang Perai, iii) dua jaringan Monorail iaitu di Pulau dan di Seberang Perai, dan iv) sistem jaringan Bus Rapid Transit (BRT) di Seberang Perai. 
  1. Melalui pelaksanaan PIPP, kerajaan negeri mensasarkan sehingga 40% penggunaan pengangkutan awam di dalam negeri berbanding 3% pada masa kini. 
  1. Projek sebesar ini sudah tentu mengundang perhatian yang serius dari pelbagai pihak. Namun, sejak PIPP ini diumumkan pada 2015, kerajaan negeri sudahpun mengadakan sesi konsultasi yang mencapai lebih kurang 17,000 orang awam termasuk pihak-pihak berkepentingan. Aktiviti konsultasi dijangka akan diteruskan kerana kerajaan negeri berpegang kepada konsep akuntabel dan ketelusan. 
  1. Selain proses tender terbuka, kerajaan negeri juga mengambil serius bahawa impak-impak negatif PIPP ke atas alam sekitar dan masyarakat perlu dikawal pada tahap minima. Contohnya, kajian-kajian seperti Environmental Impact Assessment, Traffic Impact Assessment, Hydraulic Study, Fisheries Impact Assessment, Social Impact Assessment, dan Marine Traffic Risk Assessment telah dilaksanakan untuk tujuan mitigasi kesan pelaksanaan projek tersebut terhadap alam sekitar dan masyarakat.
  1. Kerajaan negeri sudah tentu akan memenuhi segala syarat yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan. Sebagai makluman tentang status terkini PIPP, beberapa komponen PIPP sedang menunggu proses kelulusan oleh kerajaan persekutuan. Contohnya, dalam projek LRT, kerajaan negeri masih menunggu kelulusan Kementerian Pengangkutan. Laporan Kesan Alam Sekeliling (EIA – environment impact assessment) dan projek tambakan laut juga sedang menantikan kelulusan daripada agensi-agensi kerajaan persekutuan. Oleh itu, saya berharap pihak kerajaan persekutuan akan mengambil serius perkara ini dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri bagi menjayakan PIPP demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.
  1. Ada beberapa perkara yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan bagi membantu Pulau Pinang dalam isu pengangkutan awam. Pertama sekali, pihak kerajaan persekutuan perlu melaksana disentralisasi bagi dasar-dasar pengangkutan supaya setiap negeri diberi ruang untuk merancang, mengurus dan melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf pengangkutan awam mengikut keperluan dalam negeri. Syarikat dan institusi kerajaan seperti Prasanara harus mengutamakan pandangan, kajian, dan keperluan penduduk tempatan, dan bukan hanya diuruskan mengikut arahan dan perancangan dari ibu pejabat di Kuala Lumpur/Putrajaya sahaja. 
  1. Kedua, kerajaan persekutuan diminta  mempercepatkan proses penilaian usul-usul dan permohonan PIPP daripada kerajaan negeri.
  1. Ketiga, walaupun PIPP mempunyai model pembiayaan tersendiri, kerajaan persekutuan disarankan untuk memberikan bantuan dari segi kewangan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek yang dijangka akan menelan belanja sebanyak RM46 bilion tersebut.

Perjuangan hak wanita

  1. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk merekodkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang memegang jawatan tersebut. Ini merupakan kejayaan besar bukan sahaja kepada beliau malah kepada perjuangan menuntut kesaksamaan gender di negara kita. 
  1. Di kalangan Menteri Kabinet pula, bilangan Menteri wanita bertambah dan wanita diberi peluang memegang portfolio yang secara tradisinya dipegang oleh lelaki. Syabas kepada Pakatan Harapan. 
  1. Namun, bagi saya penambahan wanita dalam Kabinet tidak patut menjadi satu matlamat akhir ataupun end goal dengan sendirinya. Ianya sepatutnya menjadi asas kepada penggubalan dasar-dasar yang sensitif gender, dan yang lebih adil kepada kedua-dua lelaki dan perempuan. 
  1. Justeru, saya menyeru agar Kabinet terus memberikan perhatian kepada cabaran-cabaran yang didepani oleh kaum wanita di Malaysia. Fokus berterusan haruslah diberikan kepada pengupayaan wanita terutamanya dalam sektor politik dan juga sektor pekerjaan secara amnya. 
  1. Selepas PRU ke-14, kita telah menyaksikan penyertaan wanita yang paling ramai sejak Merdeka dalam Dewan Rakyat iaitu sebanyak 14.4% dan juga dalam Kabinet iaitu sebanyak 18%. Di dalam Dewan yang mulia ini pula, kita mempunyai 19.4% Senator wanita. Walaupun kita patut meraikan kejayaan pertambahan penyertaan wanita dalam peringkat tertinggi pembuat keputusan di negara kita, namun amat jelas sekali kita masih jauh dari sasaran sebenar. Matlamat kita, dan saya percaya kedua-dua parti pemerintah dan parti pembangkang boleh bersetuju dalam hal ini, ialah agar ada sekurang-kurangnya 30% penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan. Kerajaan perlu menambahkan usaha dalam aspek ini, dan ianya perlu dimulakan dari peringkat akal umbi lagi, di dalam JKKK, di peringkat kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan seterusnya ke Parlimen yang mulia ini.
  1. Keduanya, kerajaan perlu memberi perhatian kepada penyertaan wanita dalam pasaran kerja. Wanita kini 50% daripada populasi negara. Jika separuh daripada tenaga kerja kita tidak dapat dikerahkan kerana faktor-faktor seperti ketidakadilan dasar, maka bayangkan kerugian kepada pembangunan negara secara amnya. Saya bagi contoh di sini: walaupun di universiti-universiti kita, pelajar perempuan merangkumi 45% pelajar bidang kejuruteraan di peringkat sarjana muda, namun apabila sampai di pasaran kerja, jurutera perempuan hanya 22.7% sahaja. Mengapa keciciran tersebut boleh berlaku? 
  1. Malah di peringkat yang lebih tinggi lagi, contohnya di peringkat Lembaga Pengarah, data daripada Pesuruhjaya Syarikat menunjukkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah perempuan hanya merangkumi 16% daripada jumlah ahli-ahli lembaga pengarah di dalam syarikat berdaftar di Malaysia. Dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) pula, bilangan Ahli Lembaga Pengarah perempuan pun masih rendah iaitu sebanyak 17%. Dalam sektor perkhidmatan awam pula, hanya 19% Ketua Pengarah terdiri daripada perempuan, manakala pegawai kerajaan perempuan yang memegang jawatan JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) adalah lebih kurang 33.7%.
  1. Saya menyaran agar kerajaan baharu mengambil serius perkara ini dan menjadikan sasaran 30% penyertaan wanita ini sebagai satu target utama dalam KPI negara. Undang-undang anti-diskriminasi perlu digubal agar sebarang penindasan terhadap rakyat Malaysia terutamanya dalam bidang pekerjaan disebabkan faktor gender, kaum, agama dan usia dapat dihapuskan. Sistem sokongan kekeluargaan seperti jaringan pusat penjagaan juga perlu dipertingkatkan agar wanita tidak lagi perlu memilih antara kerjaya dan tanggungjawab kepada keluarga. Saya mengucapkan syabas kepada Dewan Rakyat kerana akan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender dan saya menyeru agar Jawatankuasa tersebut dapat memainkan peranan yang berkesan bagi mencapai matlamat perjuangan hak wanita selama ini. 

Hentikan perkahwinan bawah umur

  1. Dalam kita berbicara tentang wanita, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kerajaan agar mempercepatkan proses menghentikan perkahwinan bawah umur di kalangan rakyat Malaysia. Berdasarkan statistik terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dalam masa 10 tahun di antara 2007 hingga 2017 perkahwinan bawah umur bagi masyarakat Islam mencecah 10,000 kes dan bukan Islam sebanyak 4,999 kes. 
  1. Terbaharu, kes di Kelantan di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dikahwini oleh seorang lelaki berusia 41. Kes ini telah menjadi kes berprofil tinggi dan justeru mendapat banyak perhatian. Namun daripada statistik JKM di atas, jelas berlaku insiden di mana kanak-kanak perempuan dikahwinkan secara paksa tetapi dalam diam. Bagaimana pula dengan kehidupan mereka nanti? Jika ibu bapa mereka gagal untuk melindungi anak-anak mereka, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengambil alih peranan tersebut sebagai pelindung mereka. Jika kerajaan pula berpeluk tubuh ataupun berlengah-lengah maka kita telah gagal dalam tugas penting ini. 

Masalah banjir di Pulau Pinang

  1. Akhir sekali izinkan saya menyentuh terhadap isu yang sudah lama menjadi permasalahan buat rakyat Pulau Pinang, iaitu banjir.
  1. Pada November 2017, negeri Pulau Pinang dilanda bencana banjir akibat hujan lebat tanpa henti selama lebih 10 jam. Pada masa itu juga, Perdana Menteri terdahulu hadir ke Pulau Pinang dan menjanjikan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi melaksanakan rancangan-rancangan tebatan banjir di seluruh negeri Pulau Pinang.
  1. Namun, selepas janji yang ditaburi, tindakan tidak disusuli. Saya memohon agar kerajaan persekutuan sekarang boleh menghulurkan peruntukan tersebut secepat mungkin bagi membolehkan beberapa projek tebatan banjir boleh dilaksanakan. 
  1. Selain daripada peruntukan RM1 bilion yang dijanjikan, saya juga berharap agar punca besar banjir di bahagian pulau, iaitu di lembangan Sungai Pinang, diberikan perhatian yang serius. Sejak Rancangan Malaysia Ke-9, kita dibelai dengan janji manis bahawa Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang telah diluluskan dan akan dilaksanakan. Malangnya, selepas hampir 20 tahun menunggu, rakyat Pulau Pinang di bahagian Pulau khususnya masih merana setiap kali hujan lebat kerana masalah di lembangan Sungai Pinang masih belum diselesaikan.
  1. Dalam perkara ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana baru meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk fasa pertama Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang. Saya difahamkan tender sudah pun dijalankan untuk lantikan perunding bagi penyediaan rekabentuk terperinci. Akhirnya, selepas dua dekad menunggu, rakyat Pulau Pinang akan melihat pelaksanaan projek tebatan banjir yang sudah lama tergendala ini.
  1. Tanggungjawab menyelesaikan banjir bukan sahaja di atas bahu Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat memahami cabaran kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan dan oleh itu sudah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk pelbagai projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di serata negeri. Namun ia sudah tentu tidak mencukupi. Oleh itu, kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan amat diperlukan dan saya yakin kerajaan baharu ini bukan seperti kerajaan lama yang tidak pernah menepati janjinya kepada Pulau Pinang.

Penutup

  1. Akhir kata, besarlah harapan saya agar Kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan akan terus meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan tidak tersasar daripada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai antara yang terbaik di dunia.

Lim Hui Ying

Scroll to Top
Scroll to Top