Tue. Apr 16th, 2024

Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari, Exco Infrastruktur, Pengangkutan Dan Digital Negeri Pulau Pinang Bertarikh 20 Disember 2023:

PEMBIAYAAN PAS PERJALANAN TANPA HAD PAS MUTIARA MY50 DITERUSKAN PADA TAHUN 2024

Ekoran sambutan yang memberangsangkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk meneruskan pembiayaan Pas Mutiara pada tahun 2024 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7.5 juta. Dengan kata lain, perkhidmatan pengangkutan awam di bawah seliaan bas Rapid Penang akan kekal PERCUMA di seluruh negeri Pulau Pinang dengan penggunaan Pas Mutiara. 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan satu-satunya kerajaan di negara ini yang membiayai sepenuhnya kos pengangkutan awam melalui penajaan Pas Mutiara demi menggalakkan rakyat jelata untuk menukar mod pengangkutan daripada kenderaan persendirian ke pengangkutan awam serta mengurangkan kos sara hidup rakyat jelata.

Program penajaan Pas Perjalanan Tanpa Had atau lebih dikenali sebagai Pas Mutiara bermula sejak 1 Mac 2021. Memasuki tahun ke-empat penajaan ini diteruskan, sebanyak RM16.5 juta telah diperuntukkan sepanjang tempoh 3 tahun (1 Mac 2021 – 31 Disember 2023) khusus untuk pembiayaan Pas Mutiara.

Penggunaan Pas Mutiara sememangnya semakin mendapat sambutan memberangsangkan di mana jumlah pembelian dan pembaharuan Pas Mutiara kian meningkat dan bilangan penumpang (ridership) juga menunjukkan peningkatan yang baik dan memberangsangkan pada setiap bulan. 

Kerajaan Negeri percaya bahawa pembiayaan Pas Mutiara ini mampu menjadi pemangkin bagi menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang khasnya mereka yang mempunyai kenderaan persendirian untuk beralih kepada pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan. Secara tidak langsung, dengan penajaan langganan Pas Mutiara My50 ini juga, pengguna bakal meraih penjimatan kos seperti petrol, parkir dan tol yang jauh lebih tinggi setiap bulan.

YB Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur, Pengangkutan & Digital
Negeri Pulau Pinang