Fri. Jul 19th, 2024

Tunggakan gaji: Notis dikeluarkan kepada Kedah Agro

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi agensinya Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKM) telah mengeluarkan notis kepada Kedah Agro Holdings Bhd (KAHB) berhubung tunggakan gaji 24 pekerja sejak September tahun lalu.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, notis itu dikeluarkan pada Januari lalu.

“Mereka telah berjanji akan memohon bantuan daripada kerajaan negeri dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu tunggakan syarikat berkenaan yang tular di aplikasi X.

Tegas beliau, pekerja mempunyai hak ke atas gaji mereka dan tunggakan tersebut adalah bercanggah serta melanggar Seksyen 19 Akta Kerja.

Ditanya mengenai tempoh masa yang diberikan kepada KAHB untuk menyelesaikan perkara tersebut, Steven berkata, pihaknya berharap ia dapat diselesaikan dengan segera dan berhemah.

“Mereka (KAHB) mengadakan mesyuarat bersama Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) pada hari ini.

“Saya harap selepas keputusan mesyuarat mereka dicapai, kita akan buat keputusan seterusnya.

“Saya juga berharap kerajaan negeri ambil berat perkara ini,” ujar beliau.

Artikel daripada Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/654253/berita/nasional/tunggakan-gaji-notis-dikeluarkan-kepada-kedah-agro