Wed. Oct 14th, 2026

Ahli Parlimen Jelutong, Sdr R.S.N Rayer merayu agar seorang peguam bernama Jeffery Ooi Ping Hong segera memulangkan wang pampasan milik lima keluarga Pulau Pinang yang terjejas.

Menurut maklumat, sejumlah wang pampasan telah diserahkan oleh pihak pemaju kepada firma guaman terbabit untuk diagihkan kepada 17 penduduk. Namun, 5 daripada mereka masih belum menerima pampasan yang sepatutnya diterima pada Disember tahun lepas, masing-masing dianggarkan sekitar RM20,000.

Siasatan mendapati bahawa Sijil Amalan Guaman firma tersebut telah tamat pada akhir tahun 2024 dan firma itu tidak lagi beroperasi sejak beberapa bulan lalu. Peguam berkenaan juga gagal dihubungi sehingga kini.

Sdr Rayer menegaskan bahawa sidang media ini bukan bertujuan untuk membuat tuduhan atau tohmahan, tetapi sebagai satu rayuan terbuka kepada peguam tersebut agar memulangkan hak milik penduduk yang telah teraniaya.

Laporan polis telahpun dibuat oleh penduduk yang terlibat, dan Sdr Rayer akan bekerjasama rapat dengan pihak polis dan Majlis Peguam Malaysia bagi memastikan keadilan ditegakkan.