Patut ada moratorium pekerja Malaysia ke Kemboja selagi kes penipuan pekerjaan tidak selesai: Ahli Parlimen Steven Sim

Kenyataan media Steven Sim Ahli Parlimen Bukit Mertajam
03 OKTOBER 2022 | KUALA LUMPUR
Moratorium pekerja Malaysia ke Kemboja selagi kes penipuan pekerjaan tidak selesai

Saya merujuk kepada berita bahawa 261 rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan (job scam) di Kemboja. (https://www.bernama.com/en/news.php?id=2125271) Syabas kepada Kementerian Luar Negeri atas usaha menyelamatkan rakyat Malaysia.

Namun, kes penipuan pekerjaan kini berada di tahap krisis dan melibatkan bidang kuasa yang lebih besar daripada pihak Kementerian Luar Negeri semata-mata.

Tambahan, angka yang diuar-uarkan setakat ini hanya merupakan sebahagian kecil daripada jumlah sebenar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja. Ada pihak yang mendakwa bahawa angka sebenar mangsa kalangan rakyat Malaysia telah mencecah beribu-ribu orang. Mangsa-mangsa ini bukan sahaja merupakan mangsa penculikan dan pemerdagangan orang malah laporan media menyebut bahawa mereka dipaksa untuk melakukan kegiatan penipuan terhadap orang lain.

Saya ingin mencadangkan 5 langkah segera kepada kerajaan untuk menangani krisis penipuan pekerjaan ini:

1. Hentikan pengambilan pekerja Malaysia ke Kemboja selagi kes penipuan pekerjaan tidak diselesaikan.

Satu moratorium harus dikenakan ke atas Kemboja di mana syarikat-syarikat yang beroperasi di Kemboja dilarang daripada mengambil pekerja Malaysia sehingga sindiket penipuan pekerjaan dibanteras sepenuhnya. Nyawa rakyat Malaysia tidak harus diperjudikan di Kemboja sekiranya kerajaan Kemboja tidak mampu memberi jaminan perlindungan dan keselamatan kepada rakyat kita apabila berada di sana. 

2. Tubuhkan satu mekanisme khas untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa serta mangsa.

Keluarga mangsa dan mangsa sendiri selalunya tidak tahu di mana dan bagaimana mereka boleh mendapatkan pertolongan. Apabila mereka membuat laporan polis, ada kalanya mereka diberitahu bahawa polis tidak mempunyai kuasa untuk bertindak di luar negara. Jika mereka berjaya melarikan diri di Kemboja, mereka selalunya tidak mempunyai dana untuk membiayai kehidupan harian sehingga dibenarkan untuk pulang ke Malaysia. Ada di kalangan mereka pula mungkin dikenakan tindakan imigresen di luar negara walaupun mereka sendiri merupakan mangsa.

Justeru, satu mekanisme khas pelbagai agensi harus ditubuhkan bagi memberi sokongan kepada pihak keluarga mangsa dan mangsa bagi memastikan setiap kes dapat dilapor, disiasat, diselesaikan dengan segera agar mangsa dapat pulang ke Malaysia dengan selamat.

3. Pihak polis harus mengambil tindakan terhadap agen tempatan.

Kebanyakan kes penipuan pekerjaan mempunyai agen tempatan di Malaysia yang berhubung dengan mangsa sebelum mangsa dibawa ke luar negara. Tindakan undang-undang yang paling berat harus diambil terhadap sindiket agen tempatan yang terlibat.

4. Tindakan harus diambil terhadap pengiklan pekerjaan (job advertiser) yang memaparkan iklan berupa penipuan pekerjaan.

Adakah menjadi tanggungjawab pengiklan pekerjaan sama ada individu ataupun syarikat pengiklanan untuk memastikan iklan pekerjaan yang dipaparkan adalah sah. Pengiklan penipuan pekerjaan harus dianggap sebagai terlibat sama dalam sindiket penipuan pekerjaan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

5. ASEAN harus mengambil tindakan lebih serius memerangi sindiket pemerdagangan orang.

Rantau Asia Tenggara telah disenarai hitam sebagai wilayah pemerdagangan orang. Sudah tiba masanya ASEAN mengambil langkah yang drastik dari segi penguatkuasaan undang-undang dan dasar perlindungan pekerja yang lebih tegas bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang. Perniagaan dan produk negara-negara yang terlibat termasuk Malaysia sudahpun dikenakan sekatan sebelum ini dan jika jenayah pemerdagangan orang tidak dibanteras, perniagaan dan pelaburan rantau ini akan terjejas. Justeru Malaysia harus memimpin di peringkat ASEAN bagi mewujudkan kerjasama serantau memerangi sindiket pemerdagangan orang.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Scroll to Top