Sun. Jul 21st, 2024

Kenyataan media Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, Kuala Lumpur, 27 Jun 2024

Patriotisme Tidak Semestinya Lagu ‘Marching’, Suara Jantan

Merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 26 Jun 2024 bertajuk ‘Pensyarah: Kembalikan Lagu Patriotik Sentuh Jiwa, Bersuara ‘Jantan”, saya ingin memberikan respons terhadap pandangan yang dikemukakan.

Pertama sekali, ingin saya tegaskan bahawa tanggapan mengatakan semangat nationalisme boleh dihidupkan hanya melalui lagu berentak marching (pancaragam) dan suara ‘jantan’ adalah tidak tepat dan ketinggalan zaman.

Tambahan pula, cadangan untuk menggunakan suara ‘jantan’ dilihat seolah-olah bersifat misoginis dan seksis. Ia seperti merendahkan suara feminin yang juga sedap dan saling melengkapi nada maskulin.

Malah cadangan sedemikian juga merupakan satu tamparan hebat kepada mereka yang mengabdikan hidup mereka dalam industri kreatif dan jelas bercanggah dengan inklusiviti MADANI yang kita promosikan.

Kaedah sedemikian mungkin dapat menarik minat audiens tertentu, namun selalunya gagal dalam memberi inspirasi kepada semangat patriotisme yang lebih luas dan inklusif. Sebaliknya, ekspresi artistik yang diinspirasikan oleh budaya dan dirangka dengan teliti boleh memupuk kebanggaan nasional yang lebih mendalam dan berkekalan, sekali gus meraikan kekayaan dan kepelbagaian sesebuah negara serta rakyatnya.

Muzik dan keseniannya mempunyai kuasa yang luar biasa dalam menyalakan semangat nasionalisme dengan menggabungkan aspek kekayaan budaya dan identiti kolektif negara. Melalui ekspresi yang kreatif, para pengkarya menerapkan intipati (essence) sejarah, nilai, dan impian negara serta menyentuh hati rakyat, membina perpaduan dan kebanggaan.

Sebagai contoh, rakyat Malaysia terus menghargai lagu-lagu patriotik klasik seperti “Setia” dan “Sejahtera Malaysia” yang masih relevan sehingga kini.

Menerapkan disiplin budaya dan sosiologi adalah kunci dalam proses ini. Bidang-bidang ini memberikan para pengkarya wawasan yang diperlukan untuk mencerminkan kompleksiti, meraikan kepelbagaian, dan menceritakan cabaran unik masyarakat dalam karya mereka.

Dengan mencipta karya yang ‘berbicara’ kepada hati rakyat, pengkarya dapat membangkitkan rasa kebersamaan dan matlamat bersama yang tulen. Pendekatan ini jauh lebih menarik daripada bergantung kepada simbol atau kaedah tradisional yang mungkin tidak ‘lekat’ pada jiwa mereka.

Usaha kerajaan untuk berkolaborasi dengan kumpulan muzik seperti Bunkface adalah langkah yang baik, namun kita perlu memperluaskan lagi penglibatan lebih ramai pengkarya dalam pelbagai genre.

Muzik dan seni adalah perkara yang sangat subjektif dan setiap karya mempunyai penilaian yang berbeza dari individu ke individu. Saya juga pasti lagu “Malaysia Madani” oleh Bunkface, sebagai contoh, mungkin dirasakan sangat menyentuh dan menginspirasi oleh sebahagian rakyat, walaupun ada yang berpendapat sebaliknya.

Adalah penting untuk melibatkan golongan pengkarya seni tempatan yang pelbagai dan mendapatkan input mereka dalam penulisan lagu dan karya seni. Kita mempunyai ramai pengkarya berbakat yang mampu memberikan perspektif yang unik dan relevan.

Muzik dan seni memiliki keupayaan unik untuk merentas sempadan, menginspirasi perubahan, dan memupuk semangat perpaduan yang mendalam. Dalam kita terus menghargai dan meraikan warisan budaya kita yang pelbagai, marilah kita memanfaatkan daya kreatif ini untuk membina Malaysia yang lebih kuat dan bersatu.

Melalui bahasa universal muzik dan impak transformasi seni, kita boleh merapatkan jurang, menggalakkan pemahaman, dan membina masa depan di mana setiap rakyat Malaysia berbangga dengan identiti kebangsaan kita yang dikongsi bersama.

SYERLEENA ABDUL RASHID
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA