PAS patut henti menyalakan api rasa kebencian: Ahli Parlimen Syerleena

Kenyataan media oleh Syerleena Abdul Rashid – MP Bukit Bendera/ADUN Seri Delima – Georgetown, Pulau Pinang – 12hb Mei 2023:

Berhenti menyalakan api rasa kebencian

Ucapan kebencian tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita, sebaliknya, rasa hormat, kesederhanaan dan keterangkuman adalah penting dan seharusnya digalakkan.

Hadi Awang dan parti PAS telah mempamerkan tidak lebih daripada unsur perpecahan dan ketaksuban – dikuatkan dengan rasa tidak yakin kepada diri sendiri (insecurities) – atas sebab yang mereka sahaja tahu. Visi mereka tentang Malaysia ini dilihat begitu terpesong jauh daripada visi asal yang pernah digagaskan oleh nenek moyang kita suatu dahulu.

Menjelang beberapa bulan lagi sebelum pembubaran beberapa negeri untuk membuka jalan kepada pilihan raya negeri, kita dapat melihat pihak sebelah sana (far right) melaungkan ucapan berunsur kebencian mereka – tanpa sebarang logik atau pertimbangan moral yang sewajarnya.

Kepelbagaian adalah kekuatan mana-mana masyarakat dan harus diraikan daripada ditakuti atau didiskriminasi. Setiap individu membawa pengalaman unik, perspektif dan bakat mereka yang tersendiri, dan kepelbagaian ini boleh membawa kepada kreativiti, inovasi dan pemahaman yang lebih besar. Jika Malaysia mahu menerajui pertumbuhan ekonomi dan sosial rantau ini, kita tidak boleh mengenepikan mana-mana kumpulan sebaliknya melibatkan setiap lapisan masyarakat untuk menyumbang kepada negara kita.

Dengan menerima kepelbagaian, kita juga boleh menggalakkan perpaduan dan keharmonian sosial yang lebih baik, dan menghalang pembentukan sikap atau kumpulan yang memecahbelahkan dan meminggirkan (exclusionary). Adalah penting bagi rakyat Malaysia, dan pastinya di seluruh dunia, untuk kekal menghormati, bersikap sederhana, dan inklusif dalam sikap dan tindakan mereka terhadap yang lain.

Semua individu berhak untuk dilayan dengan rasa hormat dan bermaruah, tanpa mengira bangsa, etnik, jantina, orientasi seksual, agama, atau sebarang ciri lain. Ini lebih-lebih lagi apabila tindakan bertentangan terhadap sesama rakyat Malaysia tidak akan sama sekali membawa hasil yang positif.

Dengan itu, rakyat Malaysia mesti memahami bahawa mungkin terdapat perspektif dan sudut pandangan yang berbeza dalam mana-mana masyarakat, dan dialog serta perdebatan yang menghormati boleh menjadi cara yang sihat untuk menangani perbezaan dan mencari titik persamaan.

Apabila komen berunsur kebencian atau tingkah laku taksub berlaku, adalah penting untuk mengambil tindakan segera bagi menangani situasi tersebut. Ini meliputi langkah mendidik individu terhadap kesan bahaya daripada kata-kata atau tindakan mereka, menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam percakapan kebencian atau tingkah laku diskriminasi, dan menyediakan sokongan serta sumber bagi mereka yang telah terjejas dengan tingkah laku tersebut. Mungkin PAS ‘mudah’ terlupa bahawa dalam mana-mana demokrasi, perbahasan yang sihat adalah dialu-alukan dan pertukaran sebegini mesti dilakukan melalui fakta dan logik, bukan tuduh-menuduh dan menakut-nakutkan.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia mengambil sikap menentang kebencian dan ‘mengingatkan’ golongan ini bahawa Malaysia adalah negara untuk semua dan akan kekal sebagai negara untuk semua orang tanpa mengira etnik dan kepercayaan agama.

SYERLEENA ABDUL RASHID
MP BUKIT BENDERA
ADUN SERI DELIMA

Scroll to Top
Scroll to Top