Pakatan Harapan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menutup Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Pakatan Harapan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menutup Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis. Penutupan masjid ini adalah satu bentuk pencabulan ke atas hak umat Islam untuk beribadat yang merupakan suatu hak yang dijamin oleh undang-undang.

Dengan menghalang hak umat Islam untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa, rejim Israel secara terang-terangan telah mencabuli Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966 yang mana Israel adalah signatori.

Arahan penutupan Masjid Al-Aqsa oleh rejim Israel dan keganasan yang dilakukan ke atas umat Islam yang ingin menunaikan ibadat di masjid tersebut adalah satu tindakan yang amat terkutuk dan mesti dihentikan segera.

Tindakan sewenang-wenang rejim Israel ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam dan semua penganut agama lain yang cintakan keadilan dan kedamaian. Maka, atas dasar komitmen terhadap prinsip keadilan dan kedamaian sejagat, Pakatan Harapan menyatakan rasa simpati dan solidariti kami dengan umat Islam di Baitul Maqdis dan menggesa supaya satu tindakan kolektif diambil dengan kadar segera oleh masyarakat antarabangsa untuk menghentikan serta-merta penindasan rejim Israel ke atas umat Islam di Baitul Maqdis.

Oleh itu, semua pihak mesti mendesak rejim Israel supaya menghentikan penutupan Masjid Al-Aqsa dan mengembalikan semula hak umat Islam untuk beribadat dengan aman di masjid ketiga paling suci bagi umat Islam.

Sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pakatan Harapan menggesa kerajaan Malaysia supaya memainkan peranan utama dalam mempelopori usaha di peringkat antarabangsa untuk menghentikan pencabulan hak umat Islam di Baitul Maqdis. Pakatan Harapan juga ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan pertumpahan darah di Masjid Al-Aqsa mestilah dielakkan.

PAKATAN HARAPAN

Scroll to Top
Scroll to Top