Sun. Jul 21st, 2024

KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG PELANTIKAN FIRMA AUDIT BEBAS OLEH KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA, 11 Julai 2024

  1. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyambut baik Yang Berhormat (YB) Menteri Sumber Manusia, YB Tuan Sim Chee Keong di atas tindakan proaktif melaksanakan pengauditan bebas terhadap HRD Corp berkaitan penemuan yang dilaporkan PAC dan Jabatan Audit Negara (JAN). 
  2. PAC dimaklumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik firma audit bebas pada 31 Julai 2024 untuk melaksanakan pengauditan terhadap HRD Corp dan ia adalah langkah tepat yang diambil KESUMA dalam mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada Syarikat Jaminan Kerajaan (CLBG) itu. 
  3. Langkah proaktif KESUMA berkenaan membuktikan bahawa YB Menteri Sumber Manusia berkenaan baru-baru ini berpegang kepada janji untuk tidak menyembunyikan sebarang kebenaran. 
  4. Pada masa sama PAC juga mahu KESUMA membentangkan penemuan dan dapatan pengauditan audit bebas itu kepada Jawatankuasa ini apabila Kementerian berkenaan dan HRD Corp dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan pada September nanti. 
  5. Walaupun, perkara yang dilaporkan PAC dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bukan ketika YB Tuan Sim Chee Keong menjadi Menteri KESUMA tetapi kesanggupan beliau untuk membuat keputusan melantik firma audit bebas untuk melakukan pengauditan berdasarkan penemuan PAC dan JAN perlu menjadi contoh kepada menteri kabinet yang lain. 

Sekian, terima kasih. 

YB Datuk Wira Mas Ermieyati binti Samsudin 

Pengerusi PAC Parlimen