MyStep inisiatif baik kerajaan yang tawarkan alternatif kepada pekerjaan gig: Ahli Parlimen Syerleena

Kenyataan media dari Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid – Kuala Lumpur, 4 April 2023:

Pekerja MyStep Perlukan Jaminan Kerja Berterusan, Latihan dan Sokongan

Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) merupakan inisiatif kerajaan yang menyediakan peluang pekerjaan jangka pendek (kontrak) di pelbagai Kementerian, Agensi Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Rakan Strategik.

Ia merupakan satu inisiatif yang baik sebagai alternatif kepada pekerjaan-pekerjaan gig di negara ini. Walau bagaimanapun, langkah susulan daripada inisiatif tersebut menimbulkan kebimbangan dan perlu ditangani oleh kerajaan.

Kegusaran timbul apabila pekerja MyStep tidak mempunyai jaminan pekerjaan selepas mereka tamat kontrak. Golongan itu tidak dapat mencari pekerjaan seterusnya dan terpaksa bermula dari bawah kembali dalam perjuangan mencari pekerjaan mereka. Ini pastinya bukan sesuatu yang produktif malah counter productive.

Bagi memastikan pekerja yang menamatkan program MyStep tidak berdepan isu ini, kerajaan perlu menawarkan sokongan dan peluang pekerjaan terhadap pekerja-pekerja terbabit. Ini boleh dilakukan dengan menjalinkan kerjasama dengan syarikat dalam industri berkaitan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja yang menamatkan program tersebut.

Kerajaan juga boleh memberikan insentif kewangan kepada syarikat yang mengambil pekerja MyStep sebagai galakan kepada mereka untuk terus mengambil lebih ramai pekerja daripada program tersebut. Usaha ini akan membantu memastikan program ini berjaya dalam matlamatnya untuk menyediakan peluang pekerjaan bermakna kepada rakyat Malaysia.

Selain itu, satu lagi perkara penting yang perlu ditekankan adalah keperluan untuk latihan dan sokongan berterusan untuk pekerja-pekerja MyStep. Dunia sedang berubah dengan pantas justeru, kemahiran dan pengetahuan baharu sangat diperlukan untuk berjaya dalam pasaran kerja masa kini.

Sehubungan itu, adalah penting bagi pekerja-pekerja MyStep untuk menerima latihan dan sokongan berterusan dalam usaha melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang pilihan masing-masing. Usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan ‘kebolehkepasaran’ tetapi juga memastikan mereka boleh berdaya saing dalam pasaran kerja di samping mampu menempuhi cabaran-cabaran yang mendatang.

Latihan dan sokongan ini juga boleh ditawarkan oleh kerajaan menerusi kerjasama dengan pakar-pakar industri serta menyediakan akses kepada kursus latihan dan bengkel bersesuaian. Dalam pada itu, kerajaan boleh menyediakan insentif kewangan kepada syarikat yang menawarkan latihan dan sokongan berterusan kepada pekerja MyStep.

Akhir sekali, kadar bayaran pekerja MyStep perlu dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan ia selaras dengan tuntutan semasa. Langkah ini penting dalam membantu mereka mendepani sekiranya berlaku cabaran-cabaran seperti peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang pada masa hadapan.

Kesimpulannya, program MyStep merupakan inisiatif kerajaan yang baik dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan menawarkan alternatif kepada pekerjaan gig. Namun begitu, terdapat kebimbangan-kebimbangan yang perlu ditangani bagi memastikan program tersebut berjaya untuk semua pihak yang terlibat.

Kekurangan jaminan pekerjaan, keperluan untuk latihan dan sokongan yang berterusan adalah isu-isu yang perlu ditangani untuk memastikan program ini berjaya.

Dengan bekerjasama dengan pakar industri, menyediakan insentif kewangan, dan mengkaji kadar gaji, kerajaan boleh memastikan program MyStep berjaya dan menyediakan peluang pekerjaan yang bermakna kepada rakyat Malaysia.

SYERLEENA ABDUL RASHID
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA
ADUN SERI DELIMA

Scroll to Top
Scroll to Top