Kenyataan Media DAPSY Pulau Pinang, Farid Maulud
MUHYIDDIN JANGAN BIADAB! JANGAN HERET POLITIK KEBENCIAN KAMU TERHADAP INSTITUSI RAJA
Tular video klip semasa tempoh berkempen Pilihanraya Kecil Nenggiri berkaitan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperlekehkan tindakan serta kebijaksanaan KDYMM Sultan Pahang yang ketika itu menyandang jawatan selaku Yang Di-Pertuan Agong kerana enggan melantiknya sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sinis menyebut kononnya beliau telah mempunyai 115 sokongan untuk melayakkan dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10, namun YDPA Sultan Abdullah telah menidakkan sokongan tersebut.
Untuk rekod, dalam tempoh kemelut melantik Perdana Menteri Ke-10 selepas PRU15 tempoh hari. Negara menyaksikan bahawa tidak ada parti atau gabungan tunggal yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
YDPA atas kebijaksanaan baginda telah memberi peluang kepada semua ketua-ketua parti untuk mengadap dan menyatakan pandangan mereka. Maka dari itu, YDPA telah mencadangkan kepada ketua-ketua parti bagi mewujudkan Kerajaan Perpaduan sekaligus meleraikan perbalahan politik yang berlaku sejak beberapa tahun sebelum itu. Malangnya, BERSATU dan PAS telah menolak mentah-mentah dengan menyatakan pendirian mereka tidak bersetuju terhadap cadangan YDPA.
Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik selepas Pakatan Harapan bergabung dengan Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan. Kesahihan Perkara 40(2) Perlembagaan Malaysia dibukti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022.
Hari ini Istana Pahang telah membuat laporan polis terhadap ucapan 3R Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan kepada institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat. Ucapan tersebut juga memburukkan nama baik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perikatan Nasional secara terang-terangkan derhaka terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.
Saya berharap pihak polis membuka kertas siasatan dan menyiasat dengan tegas tindakan biadab Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional ini.
Farid Maulud
DAPSY Pulau Pinang