Kenyataan Media Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Phee Boon Chee
Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Phee Boon Chee, hari ini mengeluarkan kenyataan media mengecam tindakan dan kenyataan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang dilihat mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin walaupun menerima gaji daripada dana awam. Beliau seharusnya berusaha membawa kebaikan kepada negeri dan rakyat Kedah, namun rekod & kenyataannya menunjukkan sebaliknya.
Menurut Phee, Sanusi mungkin dianggap salah seorang Menteri Besar yang paling banyak mencetuskan kontroversi komunikasi dalam sejarah negara. Sikapnya yang kerap membuat kenyataan tidak berasas bukan sahaja menyinggung pihak istana tetapi juga menghalang usaha kerajaan perpaduan dalam membina perpaduan rakyat, masyarakat yang harmoni, serta memupuk nilai-nilai sosial yang baik.
Mengulas kenyataan Sanusi baru-baru ini di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di mana beliau mendakwa kerajaan negeri Kedah akan menuntut RM100 juta sebagai pajakan daripada Kerajaan Pulau Pinang, Boon Chee menyindir bahawa tindakan tersebut mencerminkan Kedah menghadapi masalah kewangan di bawah pentadbiran Sanusi dan PAS. Boon Chee berpendapat, kenyataan sebegini bertentangan dengan logik pembangunan ekonomi dan menunjukkan kegagalan menarik pelaburan domestik serta antarabangsa.
Selain itu, Kedah turut gagal mencapai potensi penuh dalam sektor pelancongan. Kekurangan hasil kewangan ini mungkin menjadi sebab pentadbiran Sanusi mempertimbangkan tuntutan pajakan terhadap Pulau Pinang dan sering kali mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati kedaulatan Pulau Pinang.
Phee turut menyatakan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow, dalam sesi penggulungan Belanjawan 2025 Negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah menegaskan bahawa Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat. Oleh itu, kenyataan Sanusi di DUN Kedah yang mendakwa bahawa “Pulau Pinang milik Kedah” boleh dianggap bersifat hasutan. Sanusi dinasihatkan agar tidak terus membuang masa mengejar agenda politik semata-mata. Sekiranya mahu membuat tuntutan rasmi, bawalah perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenarannya.
Akhir sekali, Boon Chee menyeru Menteri Besar Kedah agar fokus menjalankan tanggungjawabnya dengan profesionalisme dan berintegriti. Beliau harus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Kedah dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Jangan biarkan rakyat terus terhimpit akibat kegagalan dasar pentadbiran kerajaan negeri.
Phee Boon Chee
Setiausaha Organisasi
DAP Pulau Pinang