PSUKPP/21/0353/46 (72)
9 April, 2018
YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
Tingkat 36, Menara Dato’ Onn
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
41, Jalan Tun Ismail,
50480, KUALA LUMPUR
[No. Faks : 03-2691 3019]
Yang Berhormat Dato’ Seri,
BAYARAN WANG EHSAN BAGI KEJADIAN BANJIR 2017 DI NEGERI PULAU PINANG
Adalah saya merujuk kepada perkara tersebut di atas berkaitan kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk membayar RM250 kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Pulau Pinang untuk bencana angin ribut dan banjir paling buruk dalam sejarah Pulau Pinang yang berlaku pada tahun 2017.
- Kerajaan Negeri difahamkan seramai 22,534 Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima bayaran RM250 daripada Kerajaan Persekutuan. Jumlah penerima tersebut didapati berbeza dari jumlah yang telah disahkan oleh Kerajaan Negeri sebagai mereka yang telah dipindah dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir akibat banjir berkenaan danjumlah tersebut adalah seramai 3,085 KIR. Malah berdasarkan bayaran yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepada mangsa banjir pula, seramai 55,353 KIR telah dibayar RM700 oleh Kerajaan Negeri pada Disember 2017.
- Memandangkan terdapat perbezaan ketara bagi jumlah penerima bantuan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu 22,534 KIR berbanding dengan jumlah yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri kepada NADMA Malaysia pada 20 November 2017 iaitu 3,085 KIR serta bayaran oleh Kerajaan Negeri kepada 55,353 KIR, sukacita sekiranya Kerajaan Negeri dimaklumkan mengenai asas pemilihan 22,534 KIR untuk dibayar RM250 bagi bantuan bayaran berkenaan. Sekiranya terdapat lebih daripada 3,085 KIR yang layak untuk menerima bantuan banjir sebanyak RM250 sehingga 22,534 KIR, mengapa tidak kesemuanya 55,353 KIR yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri?
- Penjelasan tersebut diperlukan oleh Kerajaan Negeri kerana terdapat perbezaan yang begitu ketara terhadap bilanganpenerima bantuan berkenaan. Malah Kerajaan Negeri juga berharap agar kadar bantuan tersebut dapat dinaikkan selaras dengan bantuan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri iaitu sekurang-kurangnya kepada RM500. Adalah tidak adil apabila mangsa-mangsa banjir di negeri lain boleh mendapat bayaran bantuan RM500 setiap mangsa tetapi mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang tidak mendapat bayaran bantuan RM500 tersebut. Adalah perlu agar janji Yang Berhormat Dato’ Seri untuk mempertimbangkan bantuan RM500 kepada setiap mangsa banjir dapat dipenuhi.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang
PSUKPP/21/0353/46 (72)