Sun. Jul 21st, 2024

Kenyataan media oleh Ahli Parlimen Kulai merangkap Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching pada hari Khamis 4 April 2024 di Kuala Lumpur

Lagi fitnah jahat terhadap DAP.

Tular sebuah tangkap layar kononnya suatu petikan daripada laman web rasmi DAP yang telah diterjemah, dengan tujuan jahat membina persepsi palsu bagi memfitnah parti DAP.

Tangkap layar tersebut memaparkan tulisan Mandarin dengan terjemahan Google Translate mendakwa:

“Kita tidak perlukan anjing untuk menyerang orang Melayu. Kita hanya perlu mencipta anjing daripada orang Melayu (PH+Umno) untuk menghancurkan Melayu dan Islam!”

“Anjing kita Melayu (PH+Umno), mereka fikir kita (DAP) adalah Tuhan Mereka… Dewa lama mereka sudah mati!”

DAP memandang serius tuduhan jahat ini yang ternyata palsu dan petikan itu tidak langsung disebut di mana-mana platform rasmi parti. Ia sebenarnya merupakan grafik yang direkayasa untuk menimbulkan fitnah dan mencetuskan perbalahan semata-mata.

DAP menafikan fitnah ini dan menegaskan pembohongan dan fitnah yang dicipta untuk memburuk-burukkan DAP tidak menjejaskan gelombang penyertaan ahli Melayu ke dalam parti, malahan menyebabkan lebih ramai yang menyertai parti kerana benci akan pembohongan seperti ini. Parti ini sudah bertahun-tahun memperjelaskan fitnah-fitnah sebegini kepada khalayak umum, maka usaha dangkal sebegini adalah kerja sia-sia golongan yang terdesak dan ketandusan idea.

Oleh yang demikian, DAP akan membuat suatu laporan polis berkenaan hal ini pada hari Jumaat 5 April 2024 supaya tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak-pihak yang menyebarkan fitnah terbabit.

Butiran sidang media selepas laporan polis dibuat akan disebarkan kepada wartawan dan pengamal media dalam masa terdekat. Pihak umum juga boleh memeriksa laman web rasmi DAP Malaysia sendiri melalui dapmalaysia.org.

TEO NIE CHING
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP