Wed. Oct 14th, 2026

Kenyataan Media DAP Pulau Pinang
16 Disember 2024

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr Steven Sim, bersama barisan Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang, telah mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia (MICCI) Pulau Pinang serta sesi dialog bersama ahli-ahli DAP di kawasan Parlimen Batu Kawan pada 15 Disember 2024 (Ahad).

Inisiatif berdialog dengan pihak berkepentingan, sama ada dalaman atau luaran, adalah sejajar dengan visi “Dalam Kukuh, Luar Kuat” yang diketengahkan oleh kepimpinan baharu DAP Pulau Pinang.

Kunjungan Hormat ke MICCI

Dalam pertemuan dengan MICCI, beberapa isu utama telah dibincangkan, termasuk kepentingan sosioekonomi masyarakat India di Pulau Pinang, dasar pekerja asing, dan usaha kerajaan untuk memajukan industri tradisional komuniti India.

Pengerusi MICCI, Dato’ S. Parthiban, menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang dipimpin oleh DAP, atas sokongan berterusan terhadap masyarakat India. Beliau turut berharap agar pandangan MICCI dapat terus disampaikan kepada pembuat dasar melalui wakil rakyat DAP di peringkat negeri dan persekutuan.

Sdr Steven Sim menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan inisiatif seperti Malaysia Indian Skill Initiative (MISI), yang memperuntukkan RM30 juta untuk memperkasakan belia India melalui program latihan dalam bidang kritikal.

Tambahan lagi, DAP Pulau Pinang juga elah menubuhkan Biro Hal Ehwal Masyarakat India yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Negeri, Sdr Ramkarpal Singh. Biro ini ditubuhkan untuk menyokong serta memperbaiki kebajikan komuniti India di negeri ini.

Dialog Bersama Ahli-ahli DAP Parlimen Batu Kawan

Dalam sesi dialog tersebut, ahli-ahli parti tempatan telah mengutarakan pelbagai isu, antaranya pembangunan infrastruktur, tebatan banjir, kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, dan kebimbangan terhadap kenaikan caj perubatan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Chow Kon Yeow, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen Batu Kawan, menjelaskan bahawa pembangunan pesat di Batu Kawan telah memberi impak sosioekonomi yang positif kepada masyarakat setempat.

Sdr Steven Sim turut menekankan bahawa kepimpinan baharu DAP Pulau Pinang akan mengamalkan pendekatan inklusif untuk memastikan perkhidmatan parti dapat memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat dan kawasan di negeri ini.

DAP Pulau Pinang juga prihatin terhadap kebimbangan rakyat mengenai peningkatan caj perubatan dan sedang giat berunding dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, serta Bank Negara untuk mencari penyelesaian terbaik.

Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang akan terus berhubung dengan pemegang taruh utama, mendengar pandangan rakyat, serta memperkukuhkan komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat demi memastikan kemajuan bersama.

Tamat