Sun. Jul 21st, 2024

Kenyataan media Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, 5 Julai 2024

Kementerian Sumber Manusia mengambil serius laporan-laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen pada 4 Julai 2024. Proses pengauditan tersebut adalah terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023.

Saya telah dimaklumkan tentang proses pengauditan oleh kedua-dua badan ini ketika saya mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember 2023, lantas mengarahkan KESUMA dan HRD CORP (PSMB) untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN dan PAC.

Sejajar syor Ketua Audit Negara, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA Dato’ Sri Khairul Dzaimee, dan Ketua Eksekutif HRD CORP Datuk Wira Shahul Dawood, untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang penemuan laporan-laporan tersebut.

Dalam masa enam bulan ini, KESUMA telah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses yang cekap di seluruh Kementerian dan agensinya. Matlamat saya adalah untuk memastikan KESUMA mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.

Rekayasa KESUMA di peringkat HRD CORP telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC tidak akan berulang.

KESUMA tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut. KESUMA tidak akan berkompromi dengan tindakantindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Steven Sim Chee Keong
Menteri Sumber Manusia
5 Julai 2024