Wed. Oct 14th, 2026
KESUMA membawa program bertaraf ASEAN ke Pulau Pinang

Pengerusi DAP Pulau Pinang Sdr. Steven Sim Chee Keong yang juga merangkap Menteri Sumber Manusia Malaysia telah membawa program bertaraf ASEAN ke Pulau Pinang, seterusnya mengangkat nama negeri ini di peringkat serantau dan antarabangsa.

Bagi mewakili pihak beliau, Sdr. Zairil Khir Johari yang juga Naib Pengerusi Negeri dan merangkap EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital telah hadir sebagai wakil rasmi dan menyampaikan ucapan pembukaan yang penuh keyakinan di hadapan lebih 150 delegasi daripada negara-negara anggota ASEAN serta organisasi antarabangsa seperti ILO, IOM, IALI, ACE, ATUC dan ASETUC.

Dalam ucapannya, Sdr. Zairil Khir Johari menekankan bahawa penempatan dan kemudahan pekerja bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi cerminan kepada maruah dan kesetaraan manusia. Beliau turut menegaskan bahawa penempatan yang tidak layak bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan keselamatan, malah memberi kesan kepada produktiviti dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah memperkukuh Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi memastikan semua sektor pekerjaan mematuhi piawaian minimum dan menjamin kesejahteraan pekerja.

Dalam semangat diplomasi serantau, Sdr. Zairil Khir Johari menyeru semua negara ASEAN untuk memperkukuh komitmen terhadap kerja yang bermaruah dan adil termasuk dengan memperkenalkan garis panduan perumahan pekerja yang lestari, membina kerjasama jangka panjang antara kerajaan dan majikan, serta memastikan ketelusan dalam melindungi pekerja rentan, terutamanya wanita dan migran.

 Sdr. Zairil Khir Johari menutup ucapannya dengan mesej yang menyentuh hati iaitu:

“Setiap asrama yang bermaruah, setiap kemudahan yang bersih dan selamat, serta setiap usaha memperbaiki kehidupan pekerja adalah penghormatan kepada maruah manusia dan lambang kemajuan sejati ASEAN.”

Persidangan selama tiga hari ini bertemakan “THE SUSTAINABILITY OF EMPLOYEES’ ACCOMMODATION AND AMENITIES IS A TRIBUTE TO HUMAN DIGNITY AND EQUALITY” akan menjadi platform penting bagi negara anggota ASEAN untuk memperkukuh dasar dan kerjasama ke arah sistem pemeriksaan buruh yang lebih adil dan berkesan.

Sekali lagi, Pulau Pinang membuktikan bahawa kita bukan sekadar mengikuti arus global, tetapi memimpin dengan suara, visi dan nilai.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Sdr. H’ng Mooi Lye (Jason), Penolong Setiausaha Negeri merangkap EXCO Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa dan Sdr. Wong Yuee Harng, ADUN Pengkalan Kota.