Sun. Jul 21st, 2024

Kenyataan media Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, 10 Julai 2024

Berikutan laporan-laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023, saya telah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk menjalankan audit bebas (independent audit) ke atas HRD Corp (PSMB). 

Demi menjamin ketelusan, juruaudit profesional pihak ketiga akan dilantik oleh KESUMA.

Audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garispanduan dalam isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC.

KESUMA kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional pihak ketiga dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Julai 2024. Tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan akan dikeluarkan bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit telah dilantik.

Audit bebas tersebut akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain. HRD Corp telah diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan.

Satu pasukan petugas khas (special taskforce) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Dato’ Seri Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan bagi memudahcara siasatan-siasatan yang sedang berjalan, meneliti laporan-laporan JAN dan PAC, termasuklah juga hasil siasatan SPRM serta audit bebas. Pasukan petugas khas ini seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya.

STEVEN SIM CHEE KEONG

MENTERI SUMBER MANUSIA

10 JULAI 2024