Kerja pembaikan cerun yang telah dijalankan, bukan pelebaran jalan: EXCO Zairil

Kenyataan Media – George Town, 11 Disember 2020:

  1. Saya merujuk kepada laporan mengenai tiang lampu jalan yang terbiar pada lorong kecemasan di Jalan Batu Ferringgi.

  2. Sepertimana umum mengetahui, Jalan Batu Ferringgi adalah sebahagian daripada jalan Persekutuan yang juga dikenali sebagai “Laluan FT006 Jalan Mengelilingi Pulau”.

  3. Jalan Persekutuan merupakan jalan yang dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan. Justeru, sebarang kerja penyelenggaraan atau penaiktarafan akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

  4. Akibat daripada hakisan tanah yang berlaku di sepanjang jalan tersebut, syarikat konsesi cerun Kerajaan Persekutuan iaitu PUSB Sdn Bhd telah diminta untuk membuat kerja-kerja pembaikan cerun menggunakan kaedah soil nailing, guniting dan tie back wall di seksyen-seksyen 59.9, 60.2, 60.8 dan 62.4. Jumlah kos bagi empat projek tersebut adalah RM2.9 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

  5. Oleh itu, kerja-kerja yang dijalankan adalah kerja pembaikan cerun dan bukannya pelebaran jalan seperti yang dinyatakan oleh pihak-pihak tertentu. Secara lazim apabila kerja-kerja pembaikan cerun dilakukan, lorong kecemasan tambahan akan ditambah sebagai buffer keselamatan seperti yang dilakukan di lokasi-lokasi lain.

  6. Mengenai isu tiang lampu jalan yang terbiar pada lorong kecemasan, pejabat saya telah dimaklumkan bahawa pihak syarikat konsesi telah pun selesai kerja-kerja pembaikan tetapi masih menunggu pengalihan tiang lampu oleh pihak TNB. Justeru, mereka telah mengeluarkan penghalang ataupun road barrier dan membiarkan tiang lampu jalan itu terbiar.

  7. Saya telah menegur tegas pihak yang bertanggungjawab dan mengarahkan JKR Daerah Timur Laut untuk memasang road barrier dengan kadar segera sehingga pengalihan tiang lampu dapat diselesaikan. Perkara ini adalah kecuaian yang mampu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya dan tidak sepatutnya berlaku.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur & Pengangkutan Negeri Pulau Pinang
ADUN Tanjong Bunga

Scroll to Top
Scroll to Top