Kerajaan tidak boleh tutup secara unilateral pejabat UNHCR tanpa rundingan: Ahli Parlimen Hon Wai

Kenyataan Media Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai di Pulau Pinang pada 7-9-2022:

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkenaan cadangan MKN untuk menutup operasi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan ambil alih pengurusan pelarian seperti dilaporkan di laporan media. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/09/997132/mkn-rancang-tutup-operasi-pejabat-unhcr-ambil-alih-pengurusan)

Saya perlu mengingatkan Kerajaan bahawa Malaysia dipilih sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Human Righs Council) untuk penggal 2022 – 2024 dan mempunyai obligasi moral untuk mengutamakan isu hak asasi manusia dalam negara dan juga serantau.

Saya meminta Menteri Luar Negara untuk memberikan satu kenyataan Menteri di Parlimen yang akan mula bersidang pada 3 Oktober 2022 berkenaan cadangan MKN ini memandangkan cadangan penutupan unilateral satu agensi Bangsa-bangsa Bersatu seperti UNHCR akan mempunyai implikasi besar kepada usaha diplomatik antarabangsa Malaysia dan menjejaskan nama baik Malaysia di mata dunia. Parlimen harus dijadikan tempat untuk membahaskan dasar berkenaan pelarian serta mekanisme masa ini untuk pelarian dari segi kemanusiaan dan keselamatan negara supaya satu titik imbang boleh dicapai.

Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya menutup secara unilateral pejabat satu agensi Bangsa-bangsa Bersatu tanpa rundingan dan dalam ketika angka pelarian dan isu pelarian masih dalam peringkat yang genting. Sekiranya angka pelarian sudah kurang ke tahap minimum, mungkin itu satu justifikasi untuk UNHCR beroperasi dari ibu pejabat serantau dari Bangkok. Walau bagaimanapun, UNHCR mempunyai pejabat di 134 negara di seluruh dunia dan di sesetengah negara yang tidak mempunyai isu pelarian yang serius, kehadiran pejabat UNHCR diperlukan sebagai satu agensi antarabangsa yang menjurus kepada bantuan kemanusiaan dan koordinasi serantau.

WONG HON WAI

Scroll to Top
Scroll to Top