Kerajaan PN tidak patut mencabuli hak undi kami: DAPSY Bukit Bendera

KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL TIDAK PATUT MENCABULI HAK UNDI KAMI

DAPSY Bukit Bendera mengutuk tindakan Kerajaan Perikatan Nasional yang seolah-olah menidakkan hak golongan belia untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15 akan datang. Usul pindaan perlembagaan Malaysia mengenai penurunan umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun telah lulus dengan majoriti lebih 2/3 Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Tindakan tidak bermaruah kerajaan Perikatan Nasional ini jelas membuktikan bahawa sebenarnya mereka takut akan kebangkitan anak muda yang akan mengubah landskap politik negara. Tahun 2018 adalah sejarah yang akan berulang dengan lebih dahsyat kali ini. PRU14 adalah kebangkitan golongan belia yang menentang salah guna kuasa, rasuah dan ketidakadilan selama ini.

Lebih menyedihkan apabila Presiden PAS, Hadi Awang, mengeluarkan kenyataan bahawa Undi18 ini tidak harus dilaksanakan kerana golongan belia tidak matang dalam membuat pilihan. DAPSY Bukit Bendera mengutuk kenyataan tersebut dan ingin menyoal, apakah para belia yang berumur 18 tahun yang telah mengangkat senjata dalam pasukan polis dan ketenteraan yang sedang mengawal keamanan serta keselamatan negara juga dianggap tidak matang oleh beliau?

Undi18 adalah hak golongan belia untuk bangkit dan memilih sebuah kepimpinan negara yang lebih baik untuk menerajui negara dengan dasar-dasar pemulihan ekonomi pasca Covid-19 yang menguntungkan rakyat dan negara, pembasmian kemiskinan yang semakin ketara, mengurangkan jurang pengangguran belia serta impian untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, berdaya saing, berteknologi tinggi dan membangun.

DAPSY Bukit Bendera mendesak agar Undi18 dilaksanakan sekarang! Apa-apa jua tindakan yang dibuat untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18 adalah suatu tindakan yang perlu dikutuk dan melanggar kesucian sistem demokrasi yang adil.

DAPSY Bahagian Bukit Bendera

Scroll to Top
Scroll to Top