Kerajaan persekutuan tak patut batalkan peruntukan bagi pembangunan Bukit Bendera tanpa alasan kukuh: ADUN Daniel Gooi

Kenyataan Media YB Daniel Gooi, ADUN Pengkalan Kota pada 4 Jun 2020 (Khamis) di George Town, Pulau Pinang:

Ingin saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Dr. Afif Bahardin, ADUN Seberang Jaya berhubung dengan isu pemansuhan peruntukan sejumlah RM100 juta oleh Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Perikatan Nasional, di mana peruntukan tersebut adalah untuk pembangunan sektor pelancongan Negeri Pulau Pinang yang merupakan sumber pendapatan yang penting dibawah sektor perkhidmatan bagi Negeri Pulau Pinang.

Umum mengetahui bahawa kelulusan peruntukan tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan untuk mempertingkatkan lagi daya saing dan pembangunan Bukit Bendera sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang unggul di Negeri Pulau Pinang. Peruntukan tersebut juga telah diluluskan oleh Parlimen selaras dengan Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Mantan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng.

Namun demikian, pengumuman pembatalan peruntukan tersebut hanya dibuat melalui makluman semata-matanya dan perkara ini juga tidak dapat dibincangkan di sidang Parlimen yang hanya bersidang satu hari sahaja tanpa mempertimbangkan sebarang urusan Kerajaan. Saya berpendapat bahawa sekiranya pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan peruntukan tersebut seakibat kesan ekonomi negara berikutan dengan wabak Covid-19, perkara ini seharusnya dibincangkan dengan teliti di sidang Parlimen yang merupakan medan yang paling sesuai bagi membincangkan perkara tersebut.

Saya turut menyambut baik cadangan YB Dr. Afif Bahardin berhubung dengan tujuan alternatif peruntukan tersebut selagi kegunaan peruntukan tersebut dapat memanfaatkan rakyat serta Negeri Pulau Pinang secara keseluruhan, namun Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya memainkan peranan penting untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri atau agensi-agensi yang terlibat dan bukannya membatalkan peruntukan tersebut tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Saya yakin YB Dr. Afif Bahardin masih ingat ketika Kerajaan Persekutuan diterajui oleh Barisan Nasional, di mana Negeri Pulau Pinang sering kali dianak-tirikan dari sebarang peruntukan dan inisiatif pembangunan. YB Dr. Afif Bahardin merupakan salah seorang pemimpin yang lantang melawan rejim Barisan Nasional, yang kini sebahagian Kerajaan Persekutuan khususnya dengan isu berkaitan dengan portfolio beliau apabila beliau memegang jawatan EXCO Kerajaan Negeri selepas Pilihanraya Umum Ke-13. Saya juga yakin apabila Belanjawan 2020 Pakatan Harapan diluluskan, ia turut menerima sokongan YB Dr. Afif Bahardin sebagai salah seorang Wakil Rakyat Pakatan Harapan.

Kini, kekhuatiran bahawasanya Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus dianak-tirikan adalah berasas memandangkan kini Kerajaan Persekutuan turut diterajui oleh parti-parti politik yang pada suatu ketika secara terus terangnya menganak-tirikan Negeri Pulau Pinang. Dengan pembatalan peruntukan pembangunan di Bukit Bendera tersebut, adalah menjadi kekhuatiran seluruh Rakyat Negeri Pulau Pinang di mana kita akan Kembali kepada zaman kerakusan dan gelap pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang menganak-tirikan Negeri Pulau Pinang.

Ini adalah berbeza langsung dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang mengamalkan sikap terbuka dan tidak mengetepikan pembangunan di seluruh negara, termasuk negeri-negeri yang diterajui oleh parti pembangkang pada ketika itu.

DANIEL GOOI ZI SEN

Scroll to Top
Scroll to Top