Kerajaan Negeri Pulau Pinang salurkan peruntukkan RM840,600 bagi program i-Suri kepada 14,010 golongan wanita

KENYATAAN MEDIA YB CHONG ENG, PENGERUSI JAWATANKUASA MMK PEMBANGUNAN SOSIAL DAN HAL EHWAL BUKAN ISLAM (21HB JANUARI 2021):

KERAJAAN NEGERI MENGIKTIRAF SUMBANGAN WANITA KEPADA AHLI KELUARGA, MASYARAKAT DAN PEMBANGUNAN NEGARA.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan peruntukkan sebanyak RM840,600 bagi program i-Suri kepada 14,010 golongan wanita.

Inisiatif ini telah mula diperkenalkan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2012 menerusi Agenda Wanita Malaysia (Caruman Wanita Nasional) dan dilaksanakan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan selepas menawan Putrajaya di PRU14.

Kebanyakkan wanita suri rumah, ibu tunggal dan balu tidak mempunyai sebarang caruman KWSP atau pun PERKESO kerana tidak mempunyai peluang untuk ke kerja kerana terpaksa menjaga anak-anak di rumah dan ini akan menyebabkan simpanan masa hadapan mereka tidak mencukupi, diri berasa kurang berkuasa (power inferior) serta mudah dijadikan sebagai sasaran mangsa keganasan domestik.

Oleh itu, Kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil pendekatan untuk memperkenalkan skim i-Suri ini sebagai suatu usaha bagi mengiktiraf sumbangan kaum ibu sepenuh masa serta meningkatkan tahap keselamatan sosial mereka.

Caruman sejumlah RM60.00 secara ‘one-off’ kepada setiap wanita yang berdaftar di bawah e-kasih dan tidak melebihi 60 tahun akan membolehkan mereka untuk membuka akaun Skim Bantuan i-Suri di KWSP bagi menikmati pelbagai manfaat. Antaranya adalah menerima insentif daripada KWSP sebanyak RM480.00 setahun dan juga layak untuk menerima dividen tahunan daripada KWSP serta bantuan khairat kematian sejumlah RM2,500.00.

Bagi golongan yang telah dikenalpasti dan menerima RM60.00 secara ‘one-off’, saya ingin menasihatkan agar mereka sambung mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan bagi memastikan akaun i-Suri anda terus aktif. Pada masa yang sama, saya juga menggalakkan wanita yang masih belum berdaftar dengan skim ini untuk menghubungi pejabat KWSP dan membuat semakan kelayakan bagi menyertai program I-Suri ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memberi sokongan kepada KWSP supaya memperbanyakkan lagi penganjuran program bagi mewarwarkan manfaat mengenai skim i-Suri kepada masyarakat Pulau Pinang.

Scroll to Top