Thu. Oct 15th, 2026

Hasil inisiatif Program Pas Mutiara & Bas Percuma yang mendapat sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk meneruskan pembiayaan Pas Mutiara sebanyak 280,000 pas pada tahun hadapan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7 juta. Dengan penggunaan Pas Mutiara, perkhidmatan bas Rapid Penang adalah percuma di seluruh negeri Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mula membiayai Pas Mutiara sejak 1 Mac 2021. Setakat November 2025, sebanyak 246,934 pas telah dilanggani atau diperbaharui sepanjang tahun 2025 dengan purata kira-kira 22,448 langganan sebulan.

Penggunaan Pas Mutiara sememangnya semakin mendapat sambutan memberangsangkan di mana jumlah pembelian kad Pas Mutiara kian meningkat dan bilangan penumpang (ridership) juga menunjukkan peningkatan yang baik pada setiap bulan. Impak positif pengangkutan awam akan terus dirasai pada tahun berikutnya terutama apabila projek-projek mega di Pulau Pinang dalam fasa pembinaan.

Dalam hal yang lain, Kerajaan Negeri juga mengekalkan sebanyak 15 buah bas percuma CAT Bridge untuk tahun 2026. Sepuluh (10) buah bas untuk laluan CAT 13 iaitu dari Seberang Jaya ke Bayan Lepas dan lima (5) buah bas bagi laluan CAT 14 iaitu dari Bukit Mertajam ke Komtar.

Kerajaan Negeri percaya bahawa pembiayaan subsidi melalui pengangkutan awam ini mampu menjadi pemangkin bagi menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang beralih kepada pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan berbanding kenderaan persendirian. Secara tidak langsung, dengan subsidi langganan Pas Mutiara My50 ini juga, pengguna bakal meraih penjimatan kos seperti petrol, parkir dan tambang tol.

ZAIRIL KHIR JOHARI